Terbuka Hong Kong: Chong Wei mara, Wei Feng tersingkir
Bernama
November 21, 2012 07:38 MYT
November 21, 2012 07:38 MYT
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei kembali semula ke gelanggang selepas perkahwinannya hampir dua minggu lepas dengan mempamerkan aksi mantap untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong di Kowloon, Hong Kong, Rabu.
Pemain nombor satu dunia itu tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain berpengalaman dari Thailand, Boonsak Ponsana 21-15, 21-15 dalam masa 32 minit untuk bertemu pemain India Ajay Jayaram pada pusingan ketiga.
Dalam pada itu, Ajay terpaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan pemain China Wang Zhengming 22-20 dan 23-21.
Dua lagi pemain peseorangan negara Mohamad Arif Abdul dan Liew Daren turut melangkah ke pusingan kedua bersama hampir kesemua pemain pilihan termasuk pemain China, Cheng Long, Kenichi Tago (Jepun) dan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh.
Bagaimanapun, pemain nombor tiga negara, Chong Wei Feng gagal melepasi pusingan pertama apabila tunduk kepada Kenichi 18-21, 9-21.
Dalam pada itu, beregu utama negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong mengalahkan Patiphat Chalardchaleam/Nipitphon Puangpuapech dari Thailand, 21-15, 21-17 untuk melangkah ke pusingan kedua.
Koo dan Tan akan menentang beregu England Chris Adcock/Andrew Ellis Khamis.
Satu lagi beregu negara Tan Wee Kiong/Hoon Thien How turut layak ke pusingan kedua setelah mengatasi beregu Taiwan Chen Hung Ling/Lu Chia Bin, 21-16, 17-21, 21-19.
Mereka dijadual bertemu Yonathan Suryatama Dasuki/Hendra Aprida Gunawan dari Indonesia pada pusingan seterusnya.
Dalam beregu wanita pula, wakil negara Vivian Kah Mun/Woon Khe Wei mengalahkan beregu Korea Selatan Choi Hye In/Kim So Young 21-19, 21-18.
Manakala beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying mengecewakan pasangan China, Jiaming Tao/Tang Jinhua 22-20, 19-21 dan 21-15 dalam masa 53 minit.