Terbuka Hong Kong BWF: Sze Fei-Nur Izzuddin ke suku akhir
Astro Arena
September 14, 2023 10:20 MYT
September 14, 2023 10:20 MYT
BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong BWF apabila mengatasi gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Tang Po Hsuan di Kowloon sebentar tadi.
Selepas mendapat laluan percuma susulan penarikan diri rakan senagara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam aksi pusingan pertama semalam, Sze Fei dan Nur Izzudin, yang kembali bergandingan pada Jun lalu, mempamerkan aksi dominan untuk mudah melakar kemenangan secara set langsung.
Bahkan, mereka tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama untuk menamatkan set pembukaan dengan kemenangan 21-13.
Tentangan lebih hebat dihadapi gandingan negara itu dalam set kedua tetapi sebaik berhasil mengikat kedudukan 11-11, Sze Fei dan Nur Izzuddin tidak lagi memandang ke belakang untuk mengakhiri pertarungan selama 31 minit itu dengan kemenangan 21-15.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara beregu pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, dan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Chol, bagi penentuan ke separuh akhir esok.