Terbuka Halle: Federer mula intai gelaran ke-10

Astro Arena
Jun 22, 2019 15:25 MYT
Federer dipaksa untuk mempamerkan permainan terbaiknya untuk melangkah ke separuh akhir. - Gambar fail
ROGER FEDERER kekal di landasan untuk menjulang gelaran juara Terbuka Halle buat kali ke-10 selepas mengatasi Roberto Bautista Agut manakala Alexander Zverev tersingkir dalam pusingan suku akhir selepas tewas kepada David Goffin.
Federer dipaksa untuk mempamerkan permainan terbaiknya untuk melangkah ke separuh akhir buat kali ke-15 setelah merakamkan kemenangan 6-3, 4-6, 6-4 awal pagi tadi.
Pilihan utama itu telah dikerah oleh Jo-Wilfried Tsonga dalam pusingan terdahulu dan menyelamatkan empat mata break ketika berdepan Bautista Agut.
Federer mememenangi kesemua sembilan perlawanan berdepan wakil Sepanyol itu, dengan kemenangan terbarunya terhasil ketika lawannya memegang servis untuk kekal dalam perlawanan tersebut.
Juara Grand Slam 20 kali itu akan berdepan Pierre-Hugues Herbert, yang melangkah ke separuh akhir apabila juara bertahan, Borna Coric, menarik diri ekoran kecederaan belakang selepas tewas dalam set pertama 7-5.
Harapan Zverev menjulang gelaran di laman sendiri lebur apabila Goffin menyingkirkan pilihan kedua itu dengan kemenangan 3-6, 6-1, 7-6 (7-3).
Goffin bangkit daripada ketinggalan 3-1 dan Zverev menyelamatkan dua mata kemenangan sebelum pemain dari Belgium itu cemerlang ketika penentuan tie-break.
Goffin bakal berdepan Matteo Berrettini dalam separuh akhir selepas pemain Itali itu mengatasi pilihan ketiga, Karen Khachanov, 6-2, 7-6 (7-4).
#Roberto Bautista Agut #Roger Federer #tenis #terbuka halle
;