Terbuka AS: Djokovic umum tidak akan beraksi ekoran status vaksinasi
Bernama
Ogos 26, 2022 12:00 MYT
Ogos 26, 2022 12:00 MYT
ANKARA: Novak Djokovic pada Khamis berkata beliau tidak dapat beraksi di Terbuka AS, yang bakal membuka tirainya pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Malangnya, saya tidak dapat pergi ke New York kali ini untuk menyertai Terbuka AS.
"Terima kasih NoleFam (hantaran dari sekumpulan peminatnya) atas mesej kasih sayang dan sokongan anda," kata pemain berusia 35 tahun itu menerusi ciapan di Twitter.
Beliau menambah: "Selamat maju jaya kepada rakan-rakan saya! Saya akan kekalkan stamina dan berfikiran positif serta menunggu peluang untuk bertanding semula.
"Jumpa anda tidak lama lagi di dunia tenis!"
Legenda tenis Serbia itu tidak menerima suntikan vaksin COVID-19, dan Amerika Syarikat mewajibkan mereka yang ingin masuk ke negara itu untuk melengkapkan suntikan vaksinasi.
Djokovic, yang memenangi 21 gelaran Grand Slam, merupakan juara Terbuka AS 2018 bagi kategori perseorangan lelaki.
Beliau juga terlepas peluang untuk beraksi di Terbuka Australia tahun ini kerana status vaksinasinya.
-- BERNAMA