Terbuka AS: Djokovic rasa sedih, kosong selepas cederakan penjaga garisan

Astro Arena
September 7, 2020 08:41 MYT
Novak Djokovic memeriksa keadaan penjaga garisan selepas terpukul bola ke arahnya pada pusingan ke-4 Kejohanan Tenis Terbuka AS di New York, 6 Sept, 2020. (Foto AP)
NOVAK Djokovic memohon maaf selepas terpukul bola ke arah penjaga garisan dan disingkirkan daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi dengan berkata dia berasa "amat sedih dan kosong".
Pemain nombor satu dunia itu dibatalkan penyertaan dalam kejohanan di New York berkenaan selepas memukul bola ke arah penjaga garisan dalam perlawanan pusingan 16 menentang Pablo Carreno Busta.
Jaguh Serbia itu, yang tidak menyertai sidang media selepas perlawanan, mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf dengan berkata dia akan belajar daripada insiden itu.
"Seluruh situasi itu telah membuatkan saya berasa amat sedih dan kosong," katanya dalam satu kiriman media sosial.
"Saya memeriksa keadaan penjaga garisan itu dan pihak penganjur berkata mujurlah dia berasa okey.
"Saya benar-benar memohon maaf kerana mencederakannya.
"Saya amat tidak berniat. Ia amat salah. Saya tidak mahu mendedahkan namanya bagi menghormati privasinya.
"Dengan pembatalan penyertaan ini, saya perlu segera pulang untuk meredakan kekecewaan saya dan mengubah segala yang terjadi ini kepada satu pembelajaran untuk perkembangan dan evolusi saya sebagai seorang pemain dan manusia.
"Saya memohon maaf kepada Kejohanan @usopen dan semua yang terkesan dengan tindakan saya.
"Saya amat berterima kasih kepada pasukan dan keluarga saya kerana menjadi kekuatan saya dan seluruh peminat saya kerana sentiasa berada bersama saya.
"Terima kasih dan saya mohon maaf," katanya.
#Amerika Syarikat #Bola #dibatalkan penyertaan #Kejohanan Tenis #Maaf #New York #Novak Djokovic #Pablo Carreno Busta #penjaga garisan #Serbia #Terbuka AS
;