Terbuka China 2024: Soon Huat-Shevon mara ke pentas final

Bernama
September 21, 2024 12:53 MYT
Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara ke final Terbuka China 2024 selepas menumbangkan pasangan tuan rumah Cheng Xing-Zhang Chi dengan skor 21-18, 21-18. -Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai hanya selangkah untuk meraih gelaran hatrik musim ini, apabila mara ke pentas final Terbuka China 2024 dengan menumbangkan wakil tuan rumah Cheng Xing-Zhang Chi, hari ini.

Ringkasan AI
  • Goh Soon Huat dan Shevon Lai mara ke final Terbuka China 2024 selepas menumbangkan pasangan tuan rumah Cheng Xing-Zhang Chi dengan skor 21-18, 21-18.
  • Ini adalah pentas final ketiga mereka musim ini dan yang pertama dalam kejohanan berstatus Super 1000.
  • Mereka akan berhadapan dengan sama ada pasangan Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja atau pasangan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di final.

Pada aksi separuh akhir berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan suami isteri yang berada di ranking ke-12 dunia itu tampil dengan aksi positif bagi menumbangkan lawannya 21-18 dan 21-18, dalam tempoh 51 minit.
Menanti mereka di pusingan akhir antara wakil Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja atau pasangan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
"Sangat gembira dengan pencapaian ini memandangkan ia pentas final ketiga kami musim ini.
"Ia juga merupakan pentas final pertama kejohanan berstatus Super 1000, jadi kami mahu meraih kejayaan muncul juara," kata Shevon dalam audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
-- BERNAMA
#Terbuka China #Pemain beregu campuran profesional negara #goh soon huat #shevon lai
;