Terbuka Australia: Zii Jia wakil tunggal negara ke separuh akhir

Bernama
Ogos 4, 2023 19:30 MYT
Zii Jia menoktahkan kebangkitan rakan senegara Ng Tze Yong dengan kemenangan 17-21, 26-24, 21-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama Lee Zii Jia menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Australia 2023 hari ini.
Dalam perlawanan suku akhir di gelanggang Quaycentre di Sydney, Australia, Zii Jia dipaksa bermandi peluh selama 83 minit sebelum menoktahkan kebangkitan rakan senegara Ng Tze Yong dengan kemenangan 17-21, 26-24, 21-19.
Pemain di ranking ke-17 dunia itu bakal berdepan Weng Hong Yang dari China yang mengejutkan pilihan kelima kejohanan Chou Tien Chen dari Taiwan 21-10, 21-16.
Kejayaan pemain kelahiran Kedah yang kini di bawah bimbingan Wong Tat Meng itu menamatkan badi lima kali tewas berturut-turut pada pusingan pertama bermula di Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.
Sementara itu, beregu lelaki negara Aaron Chia- Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir apabila tewas kepada Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 21-15, 21-17.
-- BERNAMA
#Terbuka Australia #Lee Zii Jia #Separuh Akhir #prestasi zii jia
;