Terbuka Australia: Yew Sin-Ee Yi gagal akhiri kemarau gelaran

Bernama
November 20, 2022 23:26 MYT
Kali terakhir Yew Sin-Ee Yi memenangi gelaran ialah pada Januari 2020 apabila memenangi Masters Thailand 2020 dengan menewaskan pasangan China Huang Kai Xiang-Liu Cheng, 18-21, 21-17, 21-17. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu profesional badminton Malaysia Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, gagal dalam usaha mereka untuk mengakhiri kemarau memenangi sebarang gelaran selama dua tahun, selepas tewas kepada pasangan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada final Terbuka Australia, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Quay Centre, Sydney, menyaksikan pasangan pilihan keenam itu bermula dengan langkah kiri selepas tewas 16-21 kepada pasangan bukan pilihan Yu Chen-Xuan Yi.
Walaupun menunjukkan tanda-tanda mampu membawa perlawanan ke set ketiga apabila mendahului 14-11 pada set kedua, namun pasangan itu gagal menggunakan kelebihan itu dan akhirnya tewas 20-22.
Kali terakhir Yew Sin-Ee Yi memenangi gelaran ialah pada Januari 2020 apabila memenangi Masters Thailand 2020 dengan menewaskan pasangan China Huang Kai Xiang-Liu Cheng, 18-21, 21-17, 21-17.
Bagaimanapun Yew Sin-Ee Yi berpeluang untuk menutup musim ini dengan pencapaian yang baik, apabila akan menyertai Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand pada 14-17 Dis.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia BWF 2021 itu, kini berkedudukan ketiga dalam Akhir Jelajah Dunia dengan 60,430 mata.
Hanya lapan pasangan terbaik terpilih menyertai Akhir Jelajah Dunia BWF tahun ini.
-- BERNAMA
#Terbuka Australia #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #pasangan china
;