Terbuka Australia: Tze Yong, Kisona giat buat persiapan terakhir

Bernama
November 11, 2022 15:35 MYT
Komitmen dan kesungguhan yang ditampilkan kedua-dua pemain berkenaan, mampu menutup tirai kejohanan musim 2022 dengan penuh bergaya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong dan pemain perseorangan wanita negara S. Kisona sedang giat melakukan persiapan terakhir menjelang Terbuka Australia 2022 di Sydney bermula Selasa depan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann percaya komitmen dan kesungguhan yang ditampilkan kedua-dua pemain berkenaan, mampu menutup tirai kejohanan musim 2022 dengan penuh bergaya.
Namun, beliau mengakui pemenang pingat Sukan Komanwel Birmingham 2022, Tze Yong bakal melalui laluan sukar apabila diundi menentang pilihan keenam kejohanan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Dunia di Tokyo, Ogos lepas.
"Semua yang terlibat untuk ke Terbuka Australia sudah disahkan mendapat visa dan akan bertolak minggu ini. Kita sekarang berada pada fasa mengakhiri perjalanan bagi 2022, dan setakat ini semua persediaan berada dalam tahap yang baik.
"Macam yang kita tahu Tze Yong ada perningkatan, namun masih terdapat beberapa kekurangan. Di sana (Terbuka Australia) dia akan menentang Kunvalut jadi kita nasihatkannya buat yang terbaik, kalau ada upset (menang dengan lawan lebih tinggi ranking) itu bonus," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Jurulatih berusia 45 tahun itu berkata barisan kejurulatihan BAM akan terus membantu anak kelahiran Johor Bahru itu, yang kini berada pada landasan tepat untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Menyentuh mengenai prestasi semasa Kisona, Choong Han memaklumkan masih banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan bersama jurulatih perseorangan wanita, James Chua bagi memantapkan corak permainan atlet berusia 24 tahun itu.
Choong Han berkata selepas Kisona tersungkur pada suku akhir Masters Indonesia bulan lepas, pemain kelahiran Negeri Sembilan itu mengambil keputusan menarik diri daripada Terbuka Hylo pada awal bulan ini bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada sesi latihan untuk 'menajamkan' corak permainan, yang diharap membuahkan hasil pada Terbuka Australia.
"Kisona banyak mengalami kecederaan pada awal dan pertengahan tahun ini, jadi kita tidak mahu terlampau desak dia. Kecederaan itu menyebabkan mental dan keyakinan beliau semakin menurun.
"Jadi kami memang cuba bagi sokongan dan sekarang sudah mula ada peningkatan walaupun masih memerlukan banyak lagi penambahbaikan corak permainan. Saya harap beliau boleh capai ranking tertinggi yang mungkin untuk bermain dalam Super750 dan Super1000," katanya.
Kisona juga akan berdepan laluan berliku apabila bakal bertemu pilihan ketiga kejohanan Pornpawee Chochuwong dari Thailand, yang juga pemain di ranking kelapan dunia.
Tze Yong menduduki ranking ke-34 dunia, manakala Kisona berada pada tangga ke-52 dunia.
-- BERNAMA
#Ng Tze Yong #S Kisona #Terbuka Australia #badminton #Wong Choong Hann
;