Terbuka Australia: Thiem tempah aksi dengan Djokovic untuk takhta kejuaraan
Syafik Shukri Jalil
Januari 31, 2020 22:15 MYT
Januari 31, 2020 22:15 MYT
BINTANG Austria Dominic Thiem mara ke final Terbuka Australia buat kali pertama selepas menundukkan Alexander Zverev dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Thiem yang kalah pada pusingan pertama mula dengan 3-6 bagaimanapun mula menunjukkan belang selepas melakar kemenangan menerusi set kedua, tiga dan empat dengan 6-4, 7-6 dan 7-6.
Kemenangan ini turut menyaksikan Thiem muncul sebagai bintang tenis pertama negaranya yang melayakkan diri ke pusingan akhir Terbuka Australia.
Sebelum ini di pusingan suku akhir, Thiem lakar rentak permainan yang padu untuk menyekat kemaraan bintang Sepanyol, Rafael Nadal yang berada pada ranking nombor satu dunia.
Menerusi perlawanan yang berlangsung di Rod Laver Arena itu, Thiem tampil aksi tidak konsisten di pusingan pertama dan Zverev berjaya menguasai rentak permainan seterusnya menang mudah 6-3.
Pusingan kedua menyaksikan Thiem kembali mengasak untuk memenangi set tersebut dengan 6-4.
Pusingan ketiga dan keempat lebih sengit apabila kedua-dua mereka lebih bijak dan peka dalam mengimbangi rentak permainan dan berjaya mengawal tekanan sehingga dua set terakhir ini terpaksa diheret ke pusingan tie break.
Menerusi pusingan sengit ini, Thiem berjaya menguasai kedua-dua set untuk menyekat laluan Zverev untuk beraksi di final.
Pusingan akhir yang akan berlangsung pada 2 Februari ini menyaksikan Thiem bakal berhadapan dengan juara bertahan Novak Djokovic dari Serbia yang juga buru kejuaraan kelapannya pada kejohanan kali ini.
Djokovic mara selepas berjaya leburkan misi Roger Federer untuk merangkul trofi Grand Slam yang ke-21 dengan 7-6, 6-4 dan 6-3.
#Alexander Zverev
#Australian Open
#Dominic Thiem
#final
#Grand Slam
#Novak Djokovic
#Rafael Nadal
#Roger Federer
#tenis
#tennis
#Terbuka Australia