Terbuka Australia 2022: Visa Djokovic sekali lagi dibatalkan
Astro Awani
Januari 14, 2022 16:01 MYT
Januari 14, 2022 16:01 MYT
KERAJAAN Australia sekali lagi membatalkan visa pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, pada Jumaat.
Ia sekali gus menyekat penyertaannya untuk bertanding serta mempertahankan kejuaraan dalam kejohanan Terbuka Australia 2022.
Keputusan dicapai bagi memastikan juara sembilan kali itu tidak mendatangkan risiko menularkan COVID-19 kepada komuniti.
Ia diumumkan empat hari selepas pembatalan visa pemain Serbia itu ditarik semula oleh Mahkamah Persekutuan Australia.
Bagaimanapun Djokovic masih berpeluang untuk mencabar keputusan itu atau terus keluar meninggalkan negara itu di sebalik bakal berdepan cabaran pertamanya dalam kejohanan itu pada Isnin.
Menurut Menteri Imigresen, Alex Hawke, keputusan itu dibuat berdasarkan Seksyen 133C (3) Akta Migrasi selepas mempertimbangkan faktor kesihatan dan kepentingan orang awam.
Malah katanya keputusan dicapai selepas mempertimbangkan maklumat dibekalkan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Pasukan Sempadan Australia dan Djokovic sendiri.
Tambahnya, kerajaan di bawah kepimpinan Scott Morrison juga terus komited dalam melindungi sempadan negara itu, lebih-lebih lagi dalam memastikan Australia bebas daripada COVID-19.
Djokovic yang sebelum ini mengatakan dia menentang vaksinasi dan telah diberi pengecualian untuk bersaing dalam kejuaraan itu.
Bagaimanapun, juara sembilan kali itu secara tiba-tiba dilarang memasuki Australia sebaik mendarat pada 6 Januari lalu.
Pada hari sama, Pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata pemain itu "gagal memberikan bukti kukuh dan sesuai" di Lapangan Terbang Melbourne kerana walaupun sudah disahkan positif COVID-19 sebelum ini bukanlah alasan kukuh untuk masuk ke negara itu tanpa vaksinasi.
Peguam Djokovic berkata pemain itu diberikan visa sementara untuk memasuki negara itu dan diberikan "pengecualian perubatan daripada vaksinasi COVID-19" oleh Australia Tennis kerana pernah disahkan positif pada Disember lalu.
Namun, tiada pengumuman sebelum ini mengenai pemain itu disahkan positif.
Pengecualian Djokovic diberikan oleh dua panel perubatan bebas termasuk Australia Tennis, badan yang mengendalikan acara itu serta wilayah Victoria.