Terbuka Australia 2022: Rangkul trofi Grand Slam ke-21, Rafael Nadal cipta sejarah
Syafik Shukri Jalil
Januari 30, 2022 22:14 MYT
Januari 30, 2022 22:14 MYT
RAFAEL Nadal mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul trofi Grand Slam ke-21 selepas menjuarai Terbuka Australia 2022 di Rod Laver Arena di Melbourne, Australia sebentar tadi.
Kemenangan ini sekali gus menjadikan Nadal sebagai pemain tenis perseorangan lelaki dengan pencapaian tertinggi selepas Novak Djokovic dan Roger Federer, masing-masing dengan 20 trofi.
Menerusi aksi getir bertemu dengan Daniil Medvedev dari Rusia itu, pemain nombor lima dunia ini bermula perlahan pada dua set pertama selepas tewas 6-2 dan 6-7.
Dua set itu juga ia seolah-olah memberi gambaran awal bahawa Medvedev yang juga pemain nombor dua dunia akan mampu mendominasi permainan di set ketiga.
Namun Nadal tidak putus asa dan bangkit pada set ketiga dan keempat untuk menjinakkan Medvedev dengan 6-4 dan 6-4.
Aksi mencabar yang berlangsung selama 5 jam 24 minit ini terpaksa diheret ke set penentuan selepas kedua-duanya terus garang memburu mata untuk mengejar kejuaraan.
Keghairahan suasana di Rod Laver Arena terus meriah di set penentuan yang sememangnya mendebarkan buat peminat kedua-dua atlet ini.
Bagaimanapun aksi malam ini nyata berpihak kepada Nadal yang mencatat kemenangan dengan 7-5.
Ini merupakan trofi kedua Nadal di Terbuka Australia selepas kali terakhir menjuarainya pada 2009 dalam aksi bertemu seteru sepanjang zamannya, Roger Federer.
Terdahulu, nama Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia disebut-sebut bakal mencipta sejarah mendahului pencapaian Nadal dan Federer menerusi Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.
Namun hasrat itu disekat oleh Medvedev dan impian itu nampaknya masih perlu disimpan rapi selepas tidak dibenarkan beraksi di Melbourne untuk edisi kali ini apabila visanya dibatalkan oleh kerajaan Australia sebelum aksi pembukaan kejohanan bermula.
Malah Djokovic juga tidak dibenarkan berada di Australia untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Untuk rekod, pencapaian trofi Grand Slam terbanyak untuk Open Era kekal milik Serena Williams dengan 23 trofi setakat ini.