Terbuka Australia 2022: Pembatalan visa Djokovic ditarik semula

Agensi
Januari 10, 2022 17:24 MYT
Menerusi perbicaraan sama, peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan Australia menyatakan laluan buat Djokovic mungkin lebih sukar kerana Menteri Imigresen, Alex Hawke masih memiliki kuasa untuk sekali lagi membatalkan visa Djokovic. - Sumber foto AP
MELBOURNE: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic hari ini dibebaskan dari tahanan imigresen Australia serta merta selepas hakim Anthony Kelly mendapati pembatalan visa bintang kelahiran Serbia itu sebagai tidak berasas.
Kelly juga mengarahkan agar pasport dan semua dokumen peribadi dipulangkan sekali gus memungkinkan penyertaan Djokovic dalam Terbuka Australia 2022.
Selain itu, Kelly yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan mengarahkan kerajaan Australia membayar kos perundangan Djokovic yang sebelum ini sudah menghabiskan masa beberapa hari di sebuah hotel yang menempatkan tahanan imigresen di Melbourne.
Menerusi perbicaraan sama, peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan Australia menyatakan laluan buat Djokovic mungkin lebih sukar kerana Menteri Imigresen, Alex Hawke masih memiliki kuasa untuk sekali lagi membatalkan visa Djokovic.
Tambahnya sekiranya Hawke berbuat demikian, Djokovic yang kini memiliki 20 trofi Grand Slam itu, mungkin tidak dibenarkan memasuki Australia untuk tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, Kelly memberi amaran agar tiada sebarang keputusan lain dikeluarkan yang boleh memanjangkan isu berkenaan.
Djokovic yang sebelum ini mengatakan dia menentang vaksinasi dan telah diberi pengecualian untuk bersaing dalam Terbuka Australia 2022.
Bagaimanapun, juara sembilan kali itu secara tiba-tiba dilarang memasuki Australia sebaik mendarat pada Khamis lalu.
Pada hari sama, Pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata pemain itu "gagal memberikan bukti kukuh dan sesuai" di Lapangan Terbang Melbourne kerana walaupun sudah disahkan positif COVID-19 sebelum ini bukanlah alasan kukuh untuk masuk ke negara itu tanpa vaksinasi.
Peguam djokovic berkata pemain itu diberikan visa sementara untuk memasuki negara itu dan diberikan "pengecualian perubatan daripada vaksinasi COVID-19" oleh Australia Tennis kerana pernah disdahkan positif pada Disember lalu.
Namun, tiada pengumuman sebelum ini mengenai pemain itu disahkan positif.
Pengecualian Djokovic diberikan oleh dua panel perubatan bebas termasuk Australia Tennis, badan yang mengendalikan acara itu serta bandar Victoria.
#Novak Djokovic #Terbuka Australia 2022 #Alex Hawke #Grand Slam Australia
;