Terbuka Australia 2021: Mampukah Simona Halep sekat kemaraan Serena Williams?
Syafik Shukri Jalil
Februari 15, 2021 20:11 MYT
Februari 15, 2021 20:11 MYT
PEMINAT sukan tenis seluruh dunia kini terarah kepada aksi-aksi hebat daripada bintang tenis seluruh dunia yang memburu trofi kejuaraan Terbuka Australia 2021.
Hari ini, fokus memihak kepada kepada beberapa jaguh utama seperti Rafael Nadal, Daniil Medvedev dan Ashleigh Barty yang sudah menempah tiket ke aksi suku akhir yang bermula esok.
Untuk esok pula, beberapa nama besar seperti Novak Djokovic, Alexander Zverev, Naomi Osaka dan Serena Williams akan mempertaruhkan aksi terbaik bagi melangkah ke pusingan separuh akhir.
Menjadi sebutan pastinya nama bintang Amerika Syarikat, Serena Williams yang berada di kedudukan ke-10 dengan 23 trofi Grand Slam, yang bakal bertemu Simona Halep dari Bulgaria yang kini berada di kedudukan kedua.
Tekanan pasti menggunung tatkala ramai pemerhati dan peminat sukan tenis seluruh dunia masih berteka-teki mampukah bintang berusia 39 tahun ini mampu melakar sejarah dengan memenangi trofi Grand Slam ke-24 pada kejuaraan kali ini?
Aksi hebat ini dijadual berlangsung di Rod Laver Arena tepat jam 4.00 petang waktu Malaysia.
Pertemuan dua jaguh hebat ini esok merupakan pertemuan ke-12 mereka dan Williams mendahului dengan sembilan kemenangan berbanding dua.
Kali terakhir pertemuan mereka di pentas akhir Wimbledon 2019 dengan Halep berjaya merangkul trofi Grand Slam keduanya selepas menundukkan Williams dengan 6-2 dan 6-2.
Halep mara ke suku akhir selepas berjaya menjinakkan juara Terbuka Perancis 2020, Iga Swiatek dari Poland dalam aksi pusingan keempat pada Ahad.
Menerusi sidang media selepas kemenangannya, Halep menyifatkan dirinya perlu fokus dan beraksi sebaiknya untuk berdepan dengan Williams yang disifatkannya sebagai legenda.
“Sememangnya ini merupakan aksi yang berbeza kerana ini merupakan aksi dengan Serena Williams dan dia merupakan satu-satunya pemain tenis dengan 23 trofi Grand Slam.
“Namun apabila melangkah ke gelanggang, saya selalunya menganggap dia sebagai lawan yang perlu ditewaskan dan untuk itu saya perlu fokus terhadap aksi tersebut untuk memenangi aksi tersebut.
“Kami pernah beraksi bersama beberapa kali sebelum ini dan saya tahu apa yang perlu dijangkakan dan hanya perlu beraksi sebaiknya,” katanya.
Menerusi sidang media bersama Williams pula selepas menewaskan Aryna Sabalenka pada Ahad, kemaraan kali ini penting buat dirinya bagi mengekalkan momentumnya seterusnya memburu trofi kejuaraan Grand Slam ke-24.
“Untuk saat ini saya bersedia untuk beraksi dengan sesiapa sahaja dan saya sudah beraksi di peringkat ini (suku akhir) untuk beberapa kali.
“Jadi untuk saat ini saya bersedia untuk beraksi sebaiknya dan berhadapan dengan sesiapa sahaja,” kata Williams yang kali terakhir merangkul trofi Terbuka Australia pada 2017.
Selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Australia pada 2017, Williams pernah beraksi di empat pusingan akhir Grand Slam termasuk di Terbuka Wimbledon 2018 (tewas kepada Angelique Kerber), Terbuka Amerika Syarikat 2018 (tewas kepada Naomi Osaka), Terbuka Wimledon 2019 (tewas kepada Simona Halep) dan Terbuka Amerika Syarikat 2019 (tewas kepada Bianca Andreescu).
Sekiranya Williams berjaya mendepani Halep, seterusnya mara ke pusingan akhir dan merangkul kejuaraan Terbuka Australia edisi kali ini, dia akan menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menyamakan rekodnya dengan lagenda tenis Australia, Margaret Court dengan 24 kemenangan Grand Slam.
#Serena Williams
#Simona Halep
#Terbuka Australia 2021
#Novak Djokovic
#Rafael Nadal
#Grand Slam 2021
#Margaret Court