Teong Kim tuntut Perak FC lunaskan baki kontrak 16 bulan gaji

Bernama
Jun 27, 2023 14:51 MYT
Teong Kim memfailkan tuntutan tersebut kerana mendakwa pemecatan terhadap beliau yang mempunyai kontrak dua tahun bersama Perak FC, dilakukan secara tidak sah. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Selepas hampir sebulan dipecat dan berdiam diri, bekas pengendali Perak FC Datuk Lim Teong Kim tampil menuntut haknya, serta menggesa baki bayaran gaji selama 16 bulan sehingga September 2024, dilunaskan oleh pengurusan pasukan berkenaan.
Teong Kim yang hadir bersama peguamnya Adam Yap Boon Han di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di sini, memfailkan tuntutan tersebut kerana mendakwa pemecatan terhadap beliau yang mempunyai kontrak dua tahun bersama Perak FC, dilakukan secara tidak sah.
"Penamatan kontrak berkuat kuasa pada 24 Mei lalu. Hanya berlangsung lapan bulan sebelum beliau ditamatkan, jadi kami berpendapat itu penamatan kontrak pramatang dan terjumlah kepada satu pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil.
"Beliau mempunyai hak dari sudut perundangan dan jabatan ini bertindak sebagai badan pendamai. Sekiranya kedua-dua pihak tidak mencapai kata putus, perkara ini akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan dan satu perbicaraan akan dijalankan," kata Adam Yap pada sidang media selepas membuat aduan di JPPM Perak, di sini hari ini.
Adam Yap berkata representasi dikemukakan mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
"Tujuan kami bukanlah bersifat peribadi, namun beliau (Teong Kim) hanya datang untuk menuntut haknya mengikut kontrak dan tidak timbul mahu mengeruhkan keadaan. Kami memberi ruang untuk rundingan," katanya.
Kehadiran Teong Kim pada September 2022 ke kem Perak FC jelas mencuri tumpuan, dengan harapan beliau dapat mengubah nasib pasukan Perak yang sebelum ini terumbang-ambing selama dua musim, berikutan masalah tunggakan gaji.
Namun, falsafah trust the process pada awal kehadiran Teong Kim, tidak dapat 'menyelamatkan' daripada kekal sebagai jurulatih dan beliau menjadi jurulatih ketiga digugurkan pasukan Liga Super musim ini, selepas Choi Moon Sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).
Untuk rekod, Perak hanya memenangi dua perlawanan Liga Super selain seri tiga kali dan tewas tujuh kali, di bawah kendalian Teong Kim.
Hanya mengumpul sembilan mata dalam 12 perlawanan, prestasi itu sudah pasti bukan yang diharapkan oleh pengurusan pasukan, yang meletakkan harapan tinggi buat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.
Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata antara faktor utama khidmat Teong Kim ditamatkan, berikutan prestasi buruk pasukan dalam 12 perlawanan Liga Super dan perlu menjaga imej Perak FC agar tidak terjejas.
Sementara itu, Teong Kim ketika ditemui hari ini buat kali pertamanya melahirkan kekecewaannya kerana dipecat pada pertengahan musim bagi membentuk sebuah pasukan baharu, yang sememangnya memerlukan masa untuk melakukan perubahan.
"Saya boleh lihat bahawa pemain itu sedang belajar walaupun kita kalah, kita nampak ada perubahan dan impaknya kerana itu saya katakan saya perlukan masa untuk buat semua itu.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Abdul Azim kerana memberi peluang kepada saya, selain mempercayai saya untuk mengendalikan pasukan sebelum ini.
"Saya juga tidak mahu salahkan mana-mana pihak dalam isu ini kerana ia perkara biasa dalam kancah liga bola sepak kerana setiap jurulatih atau pemain akan masuk dan pergi. Saya masuk ke Perak FC secara baik dan biarlah saya keluar secara baik, kerana ia baik untuk semua pihak," katanya.
Teong Kim berkata pada masa ini beliau mahu berehat sebentar dari kancah bola sepak, namun pada masa sama tidak menolak untuk melatih mana-mana pasukan jika khidmatnya diperlukan.
-- BERNAMA
#Lim Teong Kim #jurulatih Perak FC #dipecat #Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia
;