Teong Kim mampu bantu lahirkan pelapis bola sepak berkualiti - Zokples

Bernama
Ogos 22, 2013 07:07 MYT
Pengalaman bekas pemain kebangsaan Lim Teong Kim dalam industri bola sepak negara akan digunakan untuk membantu negara melahirkan pemain muda yang berkualiti pada masa akan datang.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zokples Embong berkata Teong Kim yang dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara mempunyai visi yang jelas untuk membantu negara dalam mengembangkan lagi pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Teong Kim akan mengikat kontrak lima tahun bermula November ini bagi menggantikan abangnya, Lim Kim Chon yang juga bekas pemain negara pada era 80-an.
"MSN memang mencari individu yang bertepatan bagi mengisi kekosongan jawatan itu. Idea melantik Teong Kim adalah daripada menteri sendiri.
"Saya tidak nafikan program pembangunan bola sepak memang agak terganggu selepas Kim Chon meletakkan jawatan sebagai ketua pembangunan bola sepak remaja kebangsaan pada Mei lepas," katanya.
Zokples berkata perbincangan pelantikan Teong Kim diadakan selama dua minggu dengan beliau dibawa melawat beberapa pusat pembangunan bola sepak.
"Teong Kim tertarik dengan apa yang telah kita laksanakan. Beliau memberitahu MSN mempunyai asas pembangunan bola sepak yang baik dan perlu dikembangkan kepada satu tahap yang lebih tinggi.
"MSN dan Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) akan bekerjasama dalam menggembleng tanggungjawab ini untuk melahirkan lebih ramai pelapis yang berkualiti pada masa akan datang," katanya.
Teong Kim yang merupakan bekas pemain kelab Hertha Berlin 87' di Bundes liga Jerman, pernah menjadi pembantu jurulatih skuad bawah 19 tahun Bayern Munich, Jerman, selama enam tahun.
#Bola #Datuk Seri Zokples Embong #Lim Teong Kim
;