Tenis Terbuka AS: Djokovic hampiri misi raih semua gelaran Grand Slam dalam satu musim

Syafik Shukri Jalil
September 11, 2021 14:49 MYT
Djokovic bakal bertemu pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev di peringkat akhir yang dijadualkan pada pagi Isnin ini. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Jaguh tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, 34, kini menghampiri misi meraih empat gelaran utama Grand Slam dalam satu musim (calendar Grand Slam) dan trofi ke-21 Grand Slam miliknya.
Ia selepas bintang Serbia itu berjaya menundukkan pemenang pingat emas Olimpik 2021, Alexander Zverev pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat 2021, pada pagi Sabtu.
Menerusi aksi tersebut, pemain nombor empat dunia itu bermula dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan di set pertama dengan 6-4.
Namun Djokovic bangkit mendominasi permainan dengan kemenangan di set kedua dan ketiga dengan meraih kemenangan 6-2 dan 6-4.
Pada set keempat Zverev kembali merapatkan saingan apabila menang dengan 6-4 namun kemaraan Djokovic nyata tidak mampu disekat apabila terpaksa tunduk dengan kekalahan 6-2 di set penentuan itu.
Djokovic bakal bertemu pemain nombor dua dunia, Daniil Medvedev di peringkat akhir selepas jaguh Rusia itu berjaya menjinakkan bintang muda Kanada, Felix Auger Aliassime, dengan kemenangan straight set 6-4, 7-5 dan 6-2.
Sekiranya menang dalam pertemuan dengan Medvedev pada Isnin, Djokovic bakal mencipta sejarah sebagai jaguh tenis perseorangan lelaki dengan koleksi trofi Grand Slam terbanyak memintas rekod legenda tenis lain, Roger Federer dan Rafael Nadal, masing-masing dengan 20 trofi.
Malah Djokovic juga bakal menyamakan rekod perbadinya dengan legenda tenis, Rod Laver, yang merupakan jaguh tenis lelaki terakhir yang berjaya meraih calendar Grand Slam pada 1969 sekiranya berjaya bawa pulang kemenangan edisi kali ini.
Djokovic untuk musim ini berjaya merangkul trofi Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Terbuka Wimbledon untuk edisi 2021.
Terdahulu, nama Djokovic disebut-sebut untuk menjuarai pingat emas temasya Olimpik 2021 di Tokyo seterusnya menyamakan rekod peribadinya dengan satu-satunya legenda tenis, Steffi Graf, yang berjaya meraih Golden Slam pada 1988.
Ini selepas Graf menjuarai keempat-empat siri Grand Slam dan pingat emas sukan Olimpik pada tahun yang sama.
Bagaimanapun Djokovic pulang tanpa sebarang kemenangan selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada Zverev.
Antara bintang yang pernah merangkul calendar Grand Slam termasuk Margaret Court pada 1970, Maureen Connoly (1953) dan Don Budge (1938).
#Novak Djokovic #Terbuka Amerika Syarikat 2021 #Calendar Grand Slam #Grand Slam
;