Tenis Terbuka Australia: Tsitsipas punahkan impian Nadal, mara ke separuh akhir
Astro Awani
Februari 17, 2021 21:57 MYT
Februari 17, 2021 21:57 MYT
IMPIAN pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal meraih trofi Grand Slam ke-21 lebur apabila tewas di tangan Stefanos Tsitsipas di pusingan suku akhir Terbuka Australia 2021 sebentar tadi.
Nadal memulakan aksi cemerlang dengan mencatat kemenangan menerusi dua set pertama dengan 6-3 dan 6-2.
Bagaimanapun jaguh kelahiran Greece berusia 22 tahun itu tidak berdiam diri dan memulakan langkah cemerlang untuk kembali mendominasi permainan seterusnya lakar kemenangan tiga set ke atas Nadal dengan 7-6, 6-4 dan 7-5.
Kemenangan ini membolehkan Tsitsipas mara ke pusingan separuh akhir dan bakal bertemu jaguh Rusia, Daniil Medvedev yang juga pemain di ranking nombor empat dunia.
“Saya hampir tidak percaya dan tiada kata-kata yang dapat saya luahkan tentang aksi di atas gelanggang ini.
“Ini merupakan satu detik yang luar biasa bagi saya.
“Saya sedar bahawa saya bermula dengan aksi yang hambar kerana terlalu gemuruh namun bermula set ketiga, semua yang saya lakukan berhasil dengan cemerlang, sukar untuk saya gambarkan perasaan ini,” kata Tsitsipas yang kini berada di kedudukan nombor lima dunia.
Ini merupakan kali ketiga Tsitsipas mara ke pusingan separuh akhir di arena Grand Slam.
Kali pertama adalah menerusi separuh akhir Terbuka Australia 2019 dan seterusnya pada Terbuka Perancis 2020.
Malah pertemuan antara dua jaguh itu dilihat sebagai “dendam” Tsitsipas yang pernah tewas kepada Nadal pada separuh akhir Terbuka Australia 2019.
Menerusi aksi tersebut, Nadal berjaya lakar kemenangan tiga set berturut-turut dengan 6-2, 6-4 dan 6-0 ke atas Tsitsipas.
Nadal mara ke pusingan akhir namun tewas kepada pemain nombor jaguh Serbia, Novak Djokovic.
#Novak Djokovic
#Rafael Nadal
#Grand Slam
#Australia
#Tenis Terbuka Australia
#suku akhir
#Stefanos Tsitsipas