Tenis Terbuka Australia: Serena Williams singkirkan Simona Halep, mara bergaya ke separuh akhir

Syafik Shukri Jalil
Februari 16, 2021 18:26 MYT
Williams menguasai pusingan pertama perlawanan dan tidak memberi laluan untuk jaguh Romania itu untuk mendominasi aksi. - Foto AP/Andy Brownbill
KUALA LUMPUR: Kemaraan Serena Williams dalam memburu kejuaraan ke-24 di pusingan suku Terbuka Australia 2021 nyata tidak mampu disekat Simona Halep.
Williams yang merupakan pemain di kedudukan ke-10 itu menampilkan aksi cemerlang apabila menang 6-3 dan 6-3 ke atas pemain nombor dua dunia itu.
Menerusi aksi di Rod Laver Arena, Melbourne pada petang Selasa, Williams menguasai pusingan pertama perlawanan dan tidak memberi laluan untuk jaguh Romania itu untuk mendominasi aksi.
Di pusingan kedua, Williams bagaimana pun akur dengan kemaraan Halep namun bangkit semula untuk menyamakan kedudukan dengan 3-3 seterusnya menutup aksi dengan kemenangan bergaya 6-3.
Saingan sebentar tadi merupakan pertemuan ke-12 dua bintang tenis terkemuka ini dengan Williams mendominasi 10 kemenangan berbanding dua oleh Halep.
Kemaraan William ini menyaksikan jaguh tenis lagenda berusia 39 tahun ini akan berhadapan dengan pemain nombor tiga dunia, Naomi Osaka dari Jepun yang juga mara setelah menundukkan Hsieh Su-wei dengan 6-2 dan 6-2.
Setakat ini, Williams pernah menjuarai Terbuka Australia sebanyak tujuh kali dengan kemenangan kali terakhir direkodkan pada 2017 menentang kakaknya, Venus Williams.
Kali pertama dia menjuarai kejohanan ini juga ketika menentang Venus pada 2003.
#Serena Williams #Terbuka Australia 2021 #Sinona Halep #Australia #Melbourne #Venus Williams
;