Tenis Terbuka Australia: Kisah dongeng Magda Linette

Sinar Harian
Januari 25, 2023 14:28 MYT
Aksi Magda Linette selepas menewaskan Karolina Pliskova dalam kejohanan suku akhir Terbuka Australia di Melbourne, 25 Jan 2023. (Foto AP)
PENGEMBARAAN kisah dongeng Magda Linette meneruskan momentum kemenangan apabila melakar kejutan mara ke separuh akhir kejohanan Tenis Terbuka Australia pada Rabu.
Pemain bukan pilihan dari Poland itu mengetepikan cabaran bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-3, 7-5 di Melbourne.
“Kemenangan ini sangat bermakna dan saya sukar mempercayainya.
“Ia seperti mimpi jadi kenyataan. Saya akan teruskannya namun tidak boleh terlalu gembira kerana kejohanan belum tamat. Apa pun saya tetap bersyukur,” katanya.
Linette yang menghuni ranking ke-45 dunia kurang diberi tumpuan berbanding rakan senegara, Iga Swiatek yang sudah tersingkir daripada saingan di Melbourne Park.
Pemain berusia 30 tahun itu berjuang untuk merebut tempat ke final dan akan membuat perhitungan sama ada berdepan Aryna Sabalenka atau Donna Vekic.
Suasana dramatik menyelubungi Rod Laver Arena apabila Linette mencampakkan raket selepas mengutip mata kemenangan di set kedua untuk meraih tiket ke separuh akhir kali pertama dalam 30 penampilan Grand Slamnya.
“Detik yang saya tidak akan lupakan.
“Saya bekerja keras sekian lama dan mengatasi pelbagai cabaran. Kemaraan ini pastinya kekal dalam kehidupan, jadi saya sangat bersyukur,” katanya.
Linette tidak pernah melepasi pusingan ketiga di Grand Slam sebelum tiba di Melbourne Park sambil berkata;
“Perubahan mentaliti antara punca kisah 'dongengnya' kali ini.” - Sinar Harian
#Terbuka Australia #tenis #Magda Linette #Karolina Pliskova
;