Tenis Terbuka Australia: Kecederaan abdomen tidak halang Djokovic bangkit ke separuh akhir

Syafik Shukri Jalil
Februari 16, 2021 22:10 MYT
Untuk pusingan separuh akhir, Djokovic bakal bertemu dengan jaguh Rusia, Aslan Karatsev yang mara selepas menundukkan pemain di ranking 18 dunia, Grigor Dimitrov di pusingan suku akhir. - Foto REUTERS/Loren Elliott
KUALA LUMPUR: Di sebalik kecederaan di bahagian abdomen dan aksi yang kurang menarik di awal saingan, Novak Djokovic bangkit dan mampu mara ke pusingan separuh akhir Terbuka Australia 2021.
Walaupun kalah pada set pertama dengan mata 7-6, juara bertahan kelahiran Serbia itu seolah-olah tidak mahu tunduk terhadap pesaing tinggi lampai, Alexander Zverev untuk mendominasi tiga set 6-2, 6-4 dan set terakhir 7-6.
Menurut pemain nombor satu dunia itu, dalam keadaan dirinya yang masih bergelut dengan kecederaan dialami, dia memerlukan masa yang lebih untuk memanaskan badan bagi memastikan dia mampu beraksi dengan cemerlang.
“Saya sudah memberikan aksi yang terbaik dan berhadapan dengan seorang pemain sebaik Zverev serta menang merupakan satu keajaiban.
“Kali ini, saya mengakui bahawa saya bermula dengan aksi yang hambar namun mampu kembali fokus selepas memanaskan badan dan ia mula membuahkan hasil.
“Namun, sekiranya Zverev memenangi pertandingan ini, dia sememangnya layak,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi di Rod Laver Arena di Melbourne, pada malam Selasa.
Tambahnya, ini bukan kecederaan pertama yang dialaminya namun pelbagai kaedah dilakukannya untuk pulih.
“Saya pernah mengalami beberapa kecederaan ketika beraksi di gelanggang Grand Slam sebelum ini, namun juruterapi fisio dan pasukan perubatan saya banyak membantu mendepani cabaran ini,” tambah pemain berusia 33 tahun itu.
Untuk pusingan separuh akhir, Djokovic bakal bertemu dengan jaguh Rusia, Aslan Karatsev yang mara selepas menundukkan pemain di ranking ke-18 dunia, Grigor Dimitrov di pusingan separuh akhir, Khamis ini.
“Saya tidak pernah menyaksikan aksi Karatsev dalam sebarang perlawanan di arena ini (Terbuka Australia).
“Dia merupakan seorang pemain yang memiliki motivasi yang tinggi dan saya tidak sabar dan teruja untuk beraksi di pusingan separuh akhir nanti,” kata Djokovic.
Karatsev hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet lelaki pertama dari Rusia mara ke pusingan separuh akhir Terbuka Australia selepas Marat Safin pada 2005.
Atlet berusia 27 tahun yang kini berada di ranking 114 dunia itu juga mencipta sejarah apabila mara ke separuh akhir Grand Slam menerusi penyertaan pertamanya di kejohanan tenis berprestij ini.
#Novak Djokovic #Terbuka Australia 2021 #Alexander Zverev #Aslan Karatsev #Rusia #Grigor Dimitrov #Rod Laver Arena #Marat Safin
;