Tenis Terbuka Australia: Djokovic mara ke final, hampiri misi buru kejuaraan ke-9
Syafik Shukri Jalil
Februari 18, 2021 18:51 MYT
Februari 18, 2021 18:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pengalaman pertama beraksi di arena Grand Slam dan seterusnya melangkah ke separuh akhir mungkin menjadi faktor utama Aslan Karatsev gagal mencipta kemenangan ke atas juara bertahan Terbuka Australia, Novak Djokovic.
Djokovic yang merupakan pemain nombor satu dunia, melangkah ke pentas akhir selepas melakar kemenangan straight sets 6-3, 6-4 dan 6-2 ke atas bintang Rusia itu.
Menerusi saingan hebat di Rod Laver Arena di Melbourne Park, Australia itu, Karatsev berjaya memberi saingan hebat kepada Djokovic namun kemaraan jaguh Serbia itu nyata tidak mampu disekat.
“Aslan Karatsev bermain dengan cemerlang untuk seseorang yang baru sahaja memulakan aksi di arena Grand Slam, sukar untuk melihat kejayaan hebat seperti ini," kata Djokovic.
Lebih mengagumkan, pemain berusia 33 tahun itu berjaya mengatasi kecederaan abdomen yang dialaminya dengan baik.
Ini berdasarkan persembahan yang konsisten dengan setiap pukulan tanpa sebarang gangguan berbeza dengan situasi ketika menentang Alexander Zverev di pusingan suku akhir pada Selasa.
“Ini merupakan aksi terbaik saya setakat ini di sini dan saya tidak mengalami kesakitan serta boleh bermain dengan baik.
“Untuk pusingan final, saya akan berlatih sebaiknya sebelum menempuh aksi final namun penting juga untuk memastikan saya pulih sepenuhnya.
Djokovic bakal bertemu Daniil Medvedev dari Rusia atau Stefanos Tsitsipas dari Greece yang akan beraksi di pentas separuh akhir pada Jumaat.
Kemaraan ini juga merupakan kejayaan Djokovic untuk tiga tahun berturut-turut beraksi di gelanggang final kejohanan tahunan ternama itu.
Sekiranya menang, Djokovic bakal meraih gelaran juara Terbuka Australia buat kali kesembilan sekali gus trofi ke-18 untuk kejuaraan Grand Slam.
Roger Federer dan Rafael Nadal setakat ini berada di pencapaian sama dengan 20 trofi Grand Slam.