Tenis Terbuka Australia 2016: Serena tumpas kepada pilihan ketujuh Angelique Kerber

Astro Arena
Januari 30, 2016 00:06 MYT
Pemain pilihan ketujuh Angelique Kerber (tengah) dari Jerman berjaya mengejutkan ribuan penyokong Serena serta penonton Australia dengan memenangi 'Grand Slam' pertamanya di Rod Laver Arena dalam penentuan set ketiga.
TENIS Terbuka Australia 2016 melabuhkan tirainya untuk acara perseorangan wanita apabila pilihan utama dan juara 21 kali Kejohanan 'Grand Slam', Serena Williams terkandas dalam mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu dan lima kali sebelum itu di Melbourne Park.
Pemain pilihan ketujuh Angelique Kerber dari Jerman berjaya mengejutkan ribuan penyokong Serena serta penonton Australia dengan memenangi 'Grand Slam' pertamanya di Rod Laver Arena dalam penentuan set ketiga.
Ramai menaruh harapan pada Serena Williams untuk memenangi Grand Slam ke-21 beliau namun Kerber mempunyai idea yang berbeza apabila mendominasi permainan dari awal lagi.
Lebih manis lagi, Kerber yang berusia 28 tahun bekerja keras selama ini untuk menempatkan dirinya dalam ranking 5 terbaik dunia. Kemenangan terbesar dalam kariernya ini meletakkan Kerber kini di ranking ke-2 dunia di belakang Serena Williams.
Ini adalah kejuaraan Grand Slam yang pertama buat Angelique Kerber yang dilihat seolah olah tidak percaya akan nasib beliau muncul juara selepas menewaskan Serena 6-4,3-6,6-4 dalam perlawanan epik berlangsung selama lebih 2 jam.
Terdahulu, Kerber hampir tersingkir awal di pusingan kedua ketika itu terpaksa menyelamatkan dirinya dari situasi 'mata akhir' yang melanda dirinya sebelum menewaskan pihak lawan dan layak sehinggalah ke perlawanan akhir.
Jangkaan ramai adalah bahawa Serena akan berjaya menyamai rekod Steffi Graf yang telah memenangi 22 Grand Slam sepanjang kariernya. Serena kini mempunyai 21 Grand Slam dan masih mempunyai masa yang panjang untuk menyamai atau memecahkan rekod isteri kelada Andre Agassi itu.
Baki tahun 2016 ini bakal memperlihatkan Serena beraksi di Wimbledon,Perancis dan Amerika Syarikat untuk 3 lagi peluang memenangi Grand Slam. Reaksi Serena ketika tewas kali juga agak berbeza kerana kelihatan akur dengan kelebihan Kerber pada kali ini dan masih mampu tersenyum serta mengucapkan tahniah kepada Angelique Kerber selepas tamat permainan.
Kini ramai mengharapkan Kerber selaku pemain di ranking ke-2 dunia memberikan aksi lebih mantap dalam baki tahun 2016 dalam kejohanan kejohanan yang lain serta Grand Slam. Mampukah beliau buktikan ia bukan sekadar nasib kemenangan ke atas Serena pada kali ini.
Kemampuannya tidak dapat dinafiksn dengan corak permainan yang Kerber pamerkan namun adakah beliau mampu meneruskan momentum ini sepanjang tahun? Itulah yang agak sukar dilihat daripada ramai pemain wanita zaman sekarang.
Antara nama nama besar yang dijangka beraksi mantap di Australia semuanya tersingkir awal seperti Simona Halep di ranking ketiga dunia, Eugenie Bouchard dan ramai lagi. Sharapova turut tersingkir di peringkat suku akhir bersama Victoria Azarenka.
Selain Serena Williams yang sentiasa konsisten layak ke Final dan muncul juara, tiada pemain wanita lain pada ketika ini mampu mengugat kedudukannya sebagai pemain terbaik dunia kerana kurang konsisten. Serena kini dalam misi yang berbeza untuk membuktikan bahawa beliau adalah pemain tenis wanita terbaik sepanjang zaman.
#Angelique Kerber #Pemain pilihan ketujuh #Serena Williams #Tenis Terbuka Australia 2016
;