Tenis: Nadal mungkin tidak sertai Terbuka AS, bayangkan bakal bersara

Bernama
Ogos 1, 2024 13:51 MYT
Rafael Nadal mendedahkan dia mungkin tidak beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat sambil memberi bayangan kariernya bakal berakhir. - Foto AP
LONDON: Pemain Sepanyol Rafael Nadal mendedahkan dia mungkin tidak beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) sambil memberi bayangan kariernya bakal berakhir tidak lama lagi.
Juara Terbuka Perancis 14 kali itu yang bergandingan dengan Carlos Alcaraz melambaikan tangan dengan penuh makna kepada penonton di Court Philippe Chatrier di Paris selepas tumpas dalam acara beregu lelaki Olimpik kepada pilihan keempat dari AS.
Ditanya sama ada pemain berusia 38 tahun itu akan ke Amerika Syarikat untuk Terbuka AS, Nadal berkata: "Nampaknya tidak, tetapi saya akan maklumkan kepada anda tidak lama lagi. Buat masa ini, saya tidak dapat memberi jawapan yang jelas, saya memerlukan sedikit masa. Tetapi nampaknya sukar untuk saya."
Sementara itu, menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Alcaraz, Nadal menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai masa depannya.
"Jika saya 10 tahun lebih muda, kami akan mencipta gandingan hebat di gelanggang dan berkongsi banyak detik indah bersama.
"Tetapi itu tidak akan berlaku. Kita lihat sama ada saya akan terus bermain dalam jelajah biasa. Tetapi sudah tentu saya akan menyokongnya dari rumah dan mendoakan yang terbaik untuknya setiap masa. Walaupun saya terus bermain atau tidak, saya cintakan tenis," katanya.
Dia berharap untuk menamatkan karier Olimpiknya dengan pingat ketiga selepas sebelum ini memenangi emas dalam acara perseorangan dan beregu, tetapi penonton yang bersemangat gagal membantunya dan Alcaraz mengatasi lawannya yang beraksi lebih baik.
"Adalah mengecewakan untuk tidak tidak membawa pulang pingat untuk Sepanyol. Saya mencuba yang terbaik setiap minit saya berada di gelanggang, tetapi ia tidak cukup untuk mencapai matlamat kami.
"Jika itu kali terakhir, ia adalah perasaan dan emosi yang tidak dapat dilupakan. Mereka memberikan saya kasih sayang dan sokongan setiap saat saya berada di gelanggang.
"Pada tahap kerjaya saya sekarang, saya bermain untuk perasaan, saya bermain untuk emosi lebih daripada keputusan," katanya.
-- BERNAMA
#Rafael Nadal #Tenis Terbuka Amerika Syarikat #pemain tenis Sepanyol #bakal bersara #Sukan Olimpik Paris 2024
;