Tenis Indian Wells: Djokovic tersenarai tapi belum tentu dapat lampu hijau

Astro Arena
Februari 10, 2022 13:18 MYT
Bulan lalu, pemenang grand slam nombor satu dunia dan 20 kali itu telah dihantar pulang dari Australia pada malam Terbuka Australia selepas visa kemasukannya ke negara berkenaan dibatalkan.- Gambar fail/REUTERS
NAMA Novak Djokovic turut tersenarai untuk Terbuka Indian Wells bulan depan walaupun kejohanan itu memerlukan semua pemain mendapatkan vaksin COVID-19.
Bulan lalu, pemenang grand slam nombor satu dunia dan 20 kali itu telah dihantar pulang dari Australia pada malam Terbuka Australia selepas visa kemasukannya ke negara berkenaan dibatalkan kerana dia tidak pernah divaksin.
Djokovic percaya dia masih layak memasuki negara itu dan bersaing selepas disahkan positif pandemik berkenaan Disember lalu sebelum pulih sepenuhnya.
Pemain Serbia itu mendominasi berita sukan pada minggu awal 2022 berikutan dihantar pulang selepas gagal melangkaui peraturan vaksin yang ditetapkan kebanyakan negara.
Djokovic bersedia untuk kembali ke gelanggang menerusi Kejohanan Tenis Bebas Cukai Dubai akhir bulan ini memandangkan vaksinasi bukan satu keperluan.
Tetapi untuk Terbuka Indian Wells, juara lima kali itu telah diumumkan sebagai pesaing, secara tidak langsung mencetuskan rasa ingin tahu ramai pihak sama ada peraturan itu bakal dipinda atau penyertaan Djokovic dibatalkan.
Satu kenyataan Indian Wells berbunyi: "Dengan kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan utama kejohanan ini, Terbuka BNP Paribas akan memerlukan bukti sah vaksinasi penuh bagi memasuki untuk menyertai kejohanan ini.
“Untuk tahun kedua berturut-turut, Terbuka BNP Paribas telah bekerjasama dengan CLEAR, sebuah syarikat keselamatan bagi memudahkan pelaksanaan dasar vaksinasi mandatori di venue ini menjelang kejohanan 2022.
"Garis panduan bagi mengawal pemain bergantung kepada protokol yang ditetapkan oleh badan induk masing-masing, WTA dan ATP, selain sebarang sekatan yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat berhubung status vaksinasi pengembara antarabangsa yang memasuki negara itu."
Begitupun, Imej Djokovic berkaitan kejohanan itu tidak muncul di media sosial termasuk dipromosi di laman sesawang rasmi, malah namanya dalam penyertaan hanya diletakkan sebagai nota kaki.
#Novak Djokovic #tenis #Indian Wells #COVID-19
;