Tenis: Hukuman gantung Sharapova dikurangkan kepada 15 bulan
Agensi
Oktober 5, 2016 11:29 MYT
Oktober 5, 2016 11:29 MYT
Tempoh penggantungan yang dikenakan ke atas ratu tenis dunia Maria Sharapova, yang terlibat dalam kes doping, dikurangkan kepada 15 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpangkalan di Lausanne pada Selasa.
Pemain Rusia berusia 29 tahun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang meldonium pada Terbuka Australia, Januari lalu, dan dikenakan penggantungan selama dua tahun oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa.
Dalam keputusannya, CAS "mendapati Sharapova melanggar peraturan anti-doping yang 'bukan kesalahan besar' dan oleh itu hukuman selama 15 bulan adalah memadai".
Sharapova secara terbuka mengakui dia telah menggunakan meldonium selama 10 tahun untuk membantu merawat penyakit, iaitu masalah jantung dan kekurangan magnesium.
Dia juga mendakwa langsung tidak menyedari bahawa produk itu telah ditambah kepada senarai bahan terlarang yang dikeluarkan World Anti-Doping Agency (WADA) pada 1 Januari lalu, sebelum Terbuka Australia itu.
Larangan awal itu dikenakan oleh satu tribunal bebas yang dilantik Persekutuan Tenis Antarabangsa.
Keputusan mengurangkan tempoh penggantungan itu, susulan rayuan yang dibuat Sharapova, bermakna pemain yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Amerika Syarikat itu boleh menyertai pertandingan mulai hujung April 2017.