Tenis Dubai: Djokovic kekal rekod tanpa kalah, jumpa Medvedev dalam separuh akhir
Astro Arena
Mac 3, 2023 10:50 MYT
Mac 3, 2023 10:50 MYT
NOVAK Djokovic meneruskan rekod tanpa kalah dalam 20 perlawanan berturut-turut dan kekal dengan rekod bersih sepanjang tahun ini apabila menewaskan Hubert Hurkacz dalam perlawanan suku akhir Kejohanan Tenis Dubai awal pagi tadi.
Pemain nombor satu dunia itu mempamerkan penguasaan dalam set pembukaan sebelum Hurkacz memberikan tentangan lebih sengit dalam set berikutnya.
Djokovic, bagaimanapun, menafikan kebangkitan yang cuba dilakukan lawan itu dengan melakarkan kemenangan set langsung 6-3, 7-5, walaupun Hurkacz kelihatan telah memberikan segala-galanya.
Pemain legenda Serbia berusia 35 tahun itu kini telah memenangi kesemua 15 perlawanannya sepanjang 2023 dan hanya melakukan tujuh 'unforced error' dalam pertemuan kali ini.
Menantinya dalam separuh akhir ialah jaguh Russia, Daniil Medvedev, yang mudah menewaskan Borna Coric 6-3, 6-2 dalam masa sejam 21 minit.