Tengku Shahrizal rangkul tali pinggang utama Kejohanan Muay Thai Kuda Merah
Bernama
November 16, 2015 09:55 MYT
November 16, 2015 09:55 MYT
Tengku Shahrizal Tengku Abdul Rahman merangkul gelaran utama 'Tali Pinggang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi' pada Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Kuda Merah 2015 di sini malam Ahad.
Dalam perlawanan akhir, Tengku Shahrizal, 23, yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumbangkan Sirit-Tong dari Thailand tidak sampai lima minit dalam pusingan pertama.
Tali pinggang tersebut dipakaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri.
Kejohanan kali keempat itu adalah anjuran Kelab Muay Thai Kuda Merah PDRM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ahmad Zahid.
Sebanyak 24 peserta dari dalam dan luar negara, kebanyakan dari Thailand berentap selama dua hari mulai semalam bagi merebut 12 gelaran (tali pinggang).
Antara tali pinggang utama yang lain adalah Tali Pinggang Datuk Siti Nurhaliza dan Tali Pinggang Sinar Harian.