Tengku Abdullah azam tingkat imej bola sepak negara, ASEAN dan Asia
Bernama
Mei 2, 2015 08:55 MYT
Mei 2, 2015 08:55 MYT
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dipilih sebagai Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berazam untuk meningkatkan imej bola sepak Asia, ASEAN dan Malaysia hingga ke peringkat dunia.
Baginda yang terpilih untuk menyandang jawatan untuk kuota Asia bagi penggal 2015-2018 berkata, jawatan itu merupakan tanggungjawab bersama dengan rakan-rakan di rantau Asia dan ASEAN.
"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah dipilih untuk jawatan Exco FIFA ini dan ia adalah satu usaha yang lama bersama Sheikh Ahmad Fahad Al Ahmad Al Sabah dari Kuwait, dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain.
"Mereka banyak memberi kata semangat untuk saya bertanding," titah baginda dalam satu kenyataan ringkas kepada media di sini hari ini.
Tengku Abdullah bertitah kemenangan itu juga membuatkan baginda berpuas hati kerana berjaya mengalahkan penyandang 16 tahun jawatan berkenaan iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Datuk Worawi Makudi.