Ten Hag anggap kelemahan mutu pengadilan punca kad merah Casemiro
Astro Arena
Februari 4, 2023 06:00 MYT
Februari 4, 2023 06:00 MYT
MAN UTD 2 CRYSTAL PALACE 1
Erik ten Hag mengakui bahawa Casemiro telah melampau batas hingga mengundangnya dibuang padang ketika Manchester United menang 2-1 ke atas Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi ini.
Begitupun, pengurus Belanda itu percaya pengadil telah terlepas pandang beberapa kekasaran pemain The Eagles.
Sepakan penalti Bruno Fernandes dan satu lagi gol daripada Marcus Rashford meletakkan United 2-0 di depan, tetapi Casemiro diarah keluar padang selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesannya mencekik leher Will Hughes dalam perbalahan kedua-dua pasukan yang tercetus akibat tolakan Jeffrey Schlupp terhadap Antony.
Schlupp kemudian menjelmakan debaran ketika permainan berbaki 14 minit tetapi United kental bertahan untuk kemenangan ke-13 berturut-turut di tempat sendiri -- rekod terbaik di Old Trafford sejak menang 20 kali berturut-turut di antara Disember 2010 dan September 2011.
Ten Hag enggan mengeluh dengan keputusan kad merah ke atas bintang antarabangsa Brazil itu yang bakal terlepas tiga perlawanan liga seterusnya buat United, tetapi bekas bos Ajax tersebut berpendapat beberapa pemain Palace, lebih-lebih Jordan Ayew juga sepatutnya dihukum.
“Kami beraksi cemerlang dan ia di tahap yang sangat tinggi dalam 70 minit pertama hingga detik insiden itu berlaku dan kemudian anda boleh lihat bahawa pasukan ini saling berusaha keras,” katanya.
“Ia adalah semangat yang baik dalam sesebuah pasukan dan mereka tidak dapat terima andai salah seorang daripada rakan sepasukan boleh cedera teruk dan begitulah cara Antony dilayan.
"Pasukan ini kekal bersatu hati tetapi sudah tentu, kami perlu mengawal emosi. Tetapi ia benar-benar sukar pada saat getir sebegitu dan saya melihat dua pasukan saling bergaduh.
"Saya melihat kedua-dua pasukan melampaui batas dan kemudian salah seorang pemain terpilih untuk dikeluarkan, dibuang padang. Dan bagi saya, ia tidak wajar.
"Pemain Crystal Palace mengambil risiko besar dengan melakukan kekasaran apabila mengundang kecederaan buruk menerusi tolakannya terhadap pemain kami hingga terkeluar dari garisan tepi padang. Jadi anda faham sahajalah bagaimana keadaan padang di sini. Dan kemudian semua orang bertindak balas, pemain Crystal Palace serta Manchester United, dan bukan setakat Casemiro.
"Ayew adalah salah seorang pemain yang melakukan kekasaran yang lebih teruk daripada Casemiro. Saya pasti dia telah berkelakuan melampaui batas bagi saya. Dan pengadil pula perlu tekal dalam soal VAR.
"Pemain saling menyakiti antara sama lain dengan parah seperti yang dilakukan oleh pemain Reading, Andy Carroll, ke atas Christian Eriksen minggu lalu dan kini pemain Crystal Palace pula menjadi angkaranya, dia mengambil risiko besar dengan mencederakan Antony."
United akan kembali beraksi pada Khamis depan apabila melayani kunjungan Leeds United sebelum bertandang ke Yorkshire untuk perlawanan timbal balik, empat hari kemudian.