Tempat Iskandar di Piala Thomas belum terjamin
Astro Arena
Mac 18, 2016 16:00 MYT
Mac 18, 2016 16:00 MYT
KECEDERAAN pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkemungkinan menjejaskan peluangnya untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam Piala Thomas Mei ini.
Iskandar mengalami kecederaan pada kaki kanannya ketika bertemu pemain dari Indonesia, Muhammad Bayu Pangisthu di pusingan kedua saingan Terbuka Switzerland.
Kecederaan Iskandar itu bagi Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, tidak terlalu serius dan akan segera dirujuk kepada Institut Sukan Negara bagi rawatan selanjutnya.
"Dia akan kembali pada Isnin, kami akan merujuknya kepada doktor sebelum memutuskan tindakan susulan," tegas beliau.
Mengulas mengenai peluang Iskandar untuk beraksi dalam Piala Thomas, Frost berkata tiada jaminan buatnya ataupun mana-mana pemain kerana dia masih lagi tidak mempunyai senarai akhir pemain yang bakal beraksi untuk kejohanan itu.
Cedera atau tidak, Frost mahu menilai prestasi Iskandar terlebih dahulu, begitu juga pemain lain kerana mahu percaturannya meraih kejayaan kelak.
Kejohanan Terbuka Switzerland menyaksikan kesemua pemain perseorangan negara gagal mara ke pusingan seterusnya.
"Ia seperti orang lain sedang membuat kerja saya. Ramai yang sudah memilih Iskandar untuk Piala Thomas.
"Beberapa bulan lalu dia tiada dalam senarai mengikut tanggapan orang ramai, jadi ia agak kelakar dan menarik.
"Saya akan meneruskan tugas saya dengan sebaiknya dan akan menilai pada April sebelum saya membuat keputusan," ujarnya.
#Iskandar Zulkarnain cedera
#Iskandar Zulkarnain Zainuddin
#jejas prestasi
#Piala Thomas
#skuad badminton negara