TEMCO Kedah: Persiapan Lang Merah tidak terjejas, sedia hadapi Sabah
Hasimi Muhamad
September 16, 2020 17:57 MYT
September 16, 2020 17:57 MYT
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (TEMCO) di beberapa kawasan di Kedah tidak menjejaskan latihan dan persiapan skuad Lang Merah khususnya untuk berdepan Sabah pada 21 September ini.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata para pemain kendaliannya sedang dalam proses penyesuaian terhadap kebiasaan baharu termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang latihan.
Jelas Aidil Sharin yang juga bekas pemain bola sepak Singapura, pengalaman yang dimiliki ‘anak buahnya’ itu digunakan sebaik mungkin untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa.
“Bagi saya sebagai jurulatih, saya hanya melakukan perkara normal dan setakat termampu. Tetapi kakitangan pelatih yang lain, mereka perlu melakukan banyak kerja untuk membuat persiapan seperti tidak boleh berkongsi air, (kedudukan) botol-botol perlu dijarakkan, dan saya rasa mereka melakukan dengan baik.
“Saya fikir para kakitangan jurulatih dan pemain sangat memberi kerjasama antara satu sama lain dan ia bukan satu masalah (yang besar).
“Sudah tentu, seperti saya beritahu baru-baru ini memang ada sedikit kesukaran untuk menyesuaikan (keadaan norma baharu) tetapi selepas itu para pemain dan pegawai boleh mematuhi SOP dengan baik. Saya fikir ini merupakan suatu yang baik kepada semua kerana kita tidak boleh ambil mudah dengan virus-virus (COVID-19) yang ada sekarang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Sementara itu, mengulas mengenai tahap kesihatan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Aidil Sharin berkata, ketiadaan penjaga gol skuad hijau kuning dalam aksi pertemuan dengan Sabah Isnin ini tidak menjejaskan prestasi pasukan berkenaan.
Jelas bekas pengendali Home United itu, posisi Mohd Ifwat akan diganti oleh Shahril Saari, yang sebelum ini turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlawanan.
“Kita tidak boleh ambil risiko kerana dia (Ifwat Akmal) tidak berada dalam keadaan yang baik… saya fikir sekurang-kurangnya dua minggu (dia perlu berehat) dan juga bergantung kepada bila dia boleh kembali (beraksi).
“Tetapi sudah tentu kita ada seorang lagi penjaga gol iaitu Shahril, dan dia telah melakukan dengan baik dalam beberapa perlawanan termasuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Selangor dan perlawanan terakhir bersama Felda (United).
“Jadi, tiada masalah dalam penggantian (penjaga gol) kerana saya rasa kita ada dua penjaga gol dalam pasukan, dan sudah tentu akan beraksi dalam perlawanan menentang Sabah akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aidil Sharin berkata pasukan Kedah sudah bersiap sedia menghadapi Sabah, dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga mata dalam perlawanan akan datang untuk berada selesa dalam saingan liga.
Terdahulu, perlawanan Kedah menentang Sabah yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini terpaksa ditunda pada 21 September atas faktor keselamatan berikutan peningkatan kes COVID-19 di dua negeri berkenaan.
Kedah masih lagi konsisten dengan tiga kemenangan berturut-turut sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu, selain berada di kedudukan kedua liga dengan 13 mata, setakat ini.
#Aidil Sharin Sahak
#COVID-19
#Felda United
#Kedah menentang Sabah
#Pasukan bola sepak Kedah
#PKPP
#Skuad hijau kuning
#Skuad Lang Merah
#TEMCO Kedah