Tekanan mental alasan lemah atlet tewas - Ahmad Shapawi

Astro Awani
Januari 22, 2013 19:17 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara ISN, Ahmad Shapawi Ismail menyangkal faktor tekanan mental sebagai punca kekalahan pemain badminton muda negara di saingan Siri Super Terbuka Malaysia.
Tegas Shapawi, setiap atlet sepatutnya perlu lebih bersedia dan mengemukakan segala permasalahan sebelum pertandingan.
"Alasan itu sangat remeh. Sepatutnya permasalahan dikemukakan sebelum kejohanan berlangsung, sekurang-kurangnya langkah-langkah dapat dilakukan untuk mengatasi permasalahan yang timbul, kata Shapawi.
Tambahnya, jurulatih juga perlu memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan yang dialami atlet.
Justeru ia menjadi tanggungjawab jurulatih mengendalikan program latihan dengan lengkap termasuk aspek persediaan psikologi untuk atlet.
"Sebaik masalah dikenalpasti, jurulatih boleh menghubungi ISN untuk kami membantu. Sekiranya jurulatih tidak mengutarakan sebarang permasalahan, jadi kami andaikan semua program latihan yang disediakan jurulatih itu sudah mencukupi."
Sebelum ini, beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut memberi alasan sama dengan beraksi kali pertama di pentas final sebagai punca kekalahan.
#Ahmad Shapawi Ismail #badminton #Institut Sukan Negara #tekanan mental
;