'Team Melli' mahu lakar sejarah jejak kaki ke pentas final
Bernama
Februari 6, 2024 06:10 MYT
Februari 6, 2024 06:10 MYT
DOHA: Ketua jurulatih, Iran, Ardeshir Ghalehnoy menyatakan jangkaan dan keyakinannya menjelang perlawanan penting separuh akhir Piala Asia 2023 menentang juara bertahan Qatar di Stadium Al Thumama di sini, hari ini.
Ghalehnoy juga menekankan kepentingan perlawanan yang akan datang dan aspirasi 'Team Melli' untuk mara ke final buat kali pertama selepas hampir 50 tahun, sekali gus mengubati kekecewaan hasil daripada penyingkiran pada peringkat yang sama dalam edisi lalu.
"Kami tahu bahawa perlawanan esok sangat penting, segala yang kami lakukan sehingga kini adalah untuk melepasi peringkat separuh akhir ini dan mara ke final. Saya memberitahu pemain-pemain untuk melupakan perlawanan Jepun (suku akhirr). Yang penting adalah mengalahkan Qatar dan mara ke final.
"Qatar adalah pasukan yang sangat bagus, mereka berada di sini untuk mempertahankan kejuaraan mereka, mereka membelanjakan banyak wang untuk meningkatkan bola sepak mereka, tetapi kami adalah Iran. Kami pun pasukan yang bagus dan menjalani sesi latihan yang sangat baik semalam, " katanya pada sidang media praperlawanan di sini semalam.
Pada masa sama, Ghalehnoy menyru anak buahnya mempamerkan lebih kualiti berbanding perlawanan sebelum ini dan mengingatkan bahawa ini adalah peluang untuk melakar sejarah apabila beberapa pemain berkemungkinan membuat penampilan terakhir di Piala Asia.
"Kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk mencipta sejarah bagi bola sepak Iran dan rakyat Iran... kami harus memberikan segala yang ada untuk mengalahkan Qatar dan mara ke perlawanan akhir," katanya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Video Bantuan Pengadil VAR) yang dilihat tidak memihak kepada Iran dalam kempen kali ini tetapi menyifatkan mereka perlu lebih kuat dengan segala yang belaku dalam kejohanan ini.
Sementara itu, pemain tengah, Saeid Ezatolahi menggesa rakan sepasukannya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi perlawanan menentang 'The Maroons sambil menyifatkan aksi separuh akhir itu amat sensitif buat pasukan berikutan kekalahan pada edisi 2019.
Bagaimanapun, 'beliau mengakui apa yang mengejutkan seluruh pasukan ialah pelantikan pengadil dari Kuwait pada perlawanan esok.
"Kami bertanya-tanya bagaimana mungkin mereka meletakkan seorang pengadil Arab bagi perlawanan esok. Sebagai pasukan profesional, keutamaan adalah untuk mengalahkan Qtar dan menjejak kaki di pentas final,"kata pemain berusia 23 tahun itu.
Iran muncul juara tiga kali berturut-turut bermula dari edisi 1968 dan kali terakhir mereka layak ke perlawanan akhir adalah pada tahun 1976.
-- BERNAMA