Team Haq lakar kejutan muncul juara baharu MPL
Bernama
Oktober 16, 2022 05:00 MYT
Oktober 16, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad e-sukan Team Haq mencipta sensasi apabila berjaya muncul juara pada penampilan sulungnya dalam perlawanan Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim Ke-10 dengan mengejutkan juara bertahan Todak 4-2 semalam.
Kejuaraan diraih skuad berkenaan dalam kejohanan berlangsung selama lebih dua bulan itu, lebih bermakna apabila ia sekali gus melayakkan mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4) dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun depan.
Perlawanan semalam menyaksikan Team Haq menunjukkan kehebatan mereka pada pusingan pertama dan kedua apabila berjaya mendahului Skuad Todak.
Situasi itu bagaimanapun tidak mematahkan hasrat Todak untuk mempertahan gelaran juara apabila skuad terbabit menyamakan kedudukan pada pusingan ketiga dan keempat.
Hasrat Todak itu kemudian dipadam Team Haq yang kembali bangkit menewaskan mereka pada dua pusingan terakhir sebelum mengesahkan kejuaraan milik mereka.
Pengasas Team Haq Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata beliau tidak menjangkakan kemenangan terbabit memandangkan ini kali pertama skuadnya menyertai MPL.
"Sebab kami merupakan pasukan rookie (baharu), jadi kami memang sertai perlawanan ini untuk cari pengalaman, lagipun Todak memang pasukan handal, jadi memang tak sangka dapat rangkul kemenangan ini.
"Tapi memang kemenangan ini hasil daripada pengalaman pemain, jadi sekarang kami dah melampaui sasaran kami dan banyak lagi pengalaman yang kami nak cari di pentas dunia nanti," katanya kepada Bernama.
Team Haq semalam dibarisi oleh lima pemainnya iaitu Muhammad Syafizan, Aiman Zairie Anuar, Poh Chun Wai, Aimin Zairie Anuar dan Mohamad Nilzaihan manakala Skuad Todak dibarisi Idreen Abdul Jamal, Wan Usman, Zikry Shamsuddin Muhammad Danial Mohamad Fuad dan Muhammad Qayyum Ariffin.
-- BERNAMA