Tatkala pandemik, Olimpik mampu menyatupadukan rakyat Malaysia - Kajian

Harits Asyraf Hasnan
Julai 17, 2021 10:14 MYT
77 peratus responden Malaysia bersetuju bahawa 'Olimpik mampu bawa negara ini bersatu padu'. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia percaya penganjuran temasya sukan Olimpik mampu menyatupadukan rakyat tatkala pandemik COVID-19 masih memuncak.
Menerusi kaji selidik yang dilakukan Ipsos melibatkan 19,510 responden, 77 peratus responden Malaysia bersetuju bahawa 'Olimpik mampu bawa negara ini bersatu padu'.
Dalam laporan bertajuk 'Olympic Spirit in Pandemic Times', Malaysia turut melepasi kadar purata global, iaitu hanya 65 peratus.
China merekodkan 92 peratus, sementara India mencatatkan 84 peratus dan diikuti Malaysia.
Kaji selidik yang dilakukan bermula 21 Mei sehingga 4 Jun lalu turut mendapati majoriti responden Malaysia, iaitu 63 peratus akan mengikuti rapat sukan badminton.
Ia jauh lebih tinggi berbanding negara seperti India yang hanya merekodkan 36 peratus, China 27 peratus dengan purata global hanya enam peratus.
Kaji selidik itu turut mendapati majoriti responden Jepun - yang merupakan tuan rumah temasya dunia itu - tidak bersetuju dengan penganjuran Olimpik.
Hanya 22 peratus responden Jepun bersetuju, berbanding purata global yang bersetuju adalah 43 peratus.
54 peratus responden India bersetuju dengan penganjuran Olimpik diikuti Amerika Syarikat (52 peratus), China (41 peratus) dan Britain (34 peratus).
#Olimpik #COVID-19 #pandemik #Jepun #Malaysia #badminton #satu padu #sukan penyatupaduan rakyat