Tanpa Lopetegui, Sepanyol masih pilihan juara - Paulinho

Astro Arena
Jun 14, 2018 10:29 MYT
PAULINHO: Sepanyol kekal sebagai salah satu pilihan kerana mereka memiliki barisan pemain yang hebat. - Foto Astro ARENA
SEPANYOL telah dikejutkan dengan isu pemecatan Julen Lopetegui selaku pengurus pasukan tetapi bagi pemain tengah Brazil, Paulinho, dia percaya juara Piala Dunia 2010 itu tetap menjadi salah satu pasukan pilihan di Russia.
Sepanyol akan memulakan cabaran edisi kali ini berdepan Portugal dalam aksi pertama Kumpulan B pada awal pagi Sabtu, namun Lopetegui telah dipecat oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) selepas pengendali itu bersetuju untuk menggantikan tempat Zinedine Zidane di Real Madrid selepas berakhir aksi Piala Dunia.
Bagaimanapun, Paulinho yang beraksi di peringkat domestik bersama Barcelona dalam saingan LaLiga tetap berpendapat Sepanyol masih menjadi pasukan pilihan bagi cabaran di Russia.
"Sepanyol kekal sebagai salah satu pilihan kerana mereka memiliki barisan pemain yang hebat," katanya.
"Tentang mereka kini akan beraksi tanpa pengendali, saya tidak mahu mengulas lanjut walaupun pelbagai kenyataan telah dikeluarkan oleh banyak pihak.
"Fokus saya hanya untuk Brazil tetapi Sepanyol tetap salah satu pasukan pilihan," tambahnya.
Dalam masa sama, Paulinho turut menamakan naib juara edisi 2014, Argentina, sebagai satu lagi pasukan yang harus diberikan perhatian jika Brazil berhasrat meraih kejuaraan keenam dalam sejarah.
"Kami memiliki barisan pemain yang bertaraf dunia. Begitu juga dengan Jerman, Perancis, Belgium dan Sepanyol.
"Mereka adalah calon juara, termasuk Argentina. Saya pasti saingan kali ini akan berjalan dengan sengit."
#Awani FIFA #barcelona #Brazil #Julen Lopetegui #jurulatih #Kumpulan B #LaLiga #Paulinho #pecat #Piala Dunia #Portugal #Russia #sepanyol
;