Tanpa gol, Werner masih mampu gerunkan pasukan lawan - Lampard
Astro Arena
Disember 22, 2020 11:23 MYT
Disember 22, 2020 11:23 MYT
FRANK Lampard percaya Timo Werner "menakutkan pasukan lawan" dan ketua jurulatih itu tidak bimbang walaupun penyerang Chelsea itu kekurangan gol.
Berhijrah dari RB Leipzig menjelang permulaan musim 2020-21, Werner sekadar meledak empat gol dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain kebangsaan Jerman itu gagal meledak gol dalam tujuh penampilan dalam kesebelasan utama buat Chelsea, kemarau paling panjang sejak September 2016 ketika beraksi bersama Stuttgart dan RB Leipzig.
Werner melakukan empat percubaan tepat ke arah gol ketika Chelsea menang 3-0 ke atas West Ham dan melakukan assist buat Tammy Abraham, dan Lampard yang mahukan jaringan daripada penyerang itu, mempertahankan pemain berusia 24 tahun itu.
"Saya tidak bimbang. Setiap penyerang mahu menjaringkan gol. Itu adalah tugas mereka dan sebab kami mahu mendapatkan khidmat Timo," kata Lampard.
"Dia pemain yang beraksi dalam liga baru dan kami mahu memberikan masa kepadanya untuk menyesuaikan diri dan mula mendapatkan rentak. Dia menakutkan pasukan lawan dan menghadirkan masalah kepada mereka.
"Buat masa ini, sekadar kurang berhasil buatnya tetapi dia seorang pemain yang berusaha dan bekerja keras. Jaringan akan hadir daripadanya."