Tang Jie tekad bentuk gandingan meyakinkan di samping Yap Ling
Astro Arena
Oktober 14, 2022 06:30 MYT
Oktober 14, 2022 06:30 MYT
YAP LING berharap penghijrahannya daripada acara beregu wanita ke beregu campuran mampu membawa pulangan kejayaan yang dicari-carinya selama ini.
"Sudah agak lama saya beraksi dalam beregu wanita tapi tidak ada pencapaian sangat," katanya ketika ditemu bual Astro Arena di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Pemain berusia 22 tahun itu digandingkan bersama Chen Tang Jie yang mengharapkan Yap Ling menjadi pasangan terakhirnya selepas Peck Yen Wei dan Valeree Siow.
Yap Ling-Tang Jie akan mengharungi Terbuka Australia, bulan depan, sekali gus menjadi ujian pertama mereka.
"Asas permainannya sudah ada, cuma kemahirannya perlu ditingkatkan lagi termasuk daripada peralihan posisi.
"Pemain wanita lebih tumpu kepada permainan di depan jaring, saya harap dapat bantunya.
"Saya sudah berumur 22 tahun, saya harap tidak lagi perlu tukar gandingan selain bantu Yap Ling buktikan bahawa dia mampu bermain di bahagian belakang dan menjadi pemain serba boleh," kata Tang Jie.
Tambah Yap Ling: "Saya sudah terbiasa bermain di bahagian belakang jadi saya perlu buktikan kemampuan bermain di depan jaring."