Tang Jie-Ee Wei, Soon Huat-Shevon Lai tentukan juara di Switzerland

Sinar Harian
Mac 24, 2024 08:41 MYT
Soon Huat-Shevon Lai mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan pilihan keenam, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-16. - Foto Sinar Harian
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan membuat perhitungan di pentas akhir Kejuaraan Badminton Terbuka Switzerland Super 300 di Saint Jakobshalle, Basel selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada Ahad.
Di separuh akhir, Tang Jie-Ee Wei pilihan ketiga mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas menewaskan pilihan keenam Ye Hong-wei-Lee Chia-hsin dari Taiwan, straight set 21-16, 21-12 dalam masa 38 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod kemenangan ke atas Hong-wei-Chia-hsin kepada enam dalam enam pertemuan.
Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan ke pentas perlawanan akhir kedua 2024 bagi Tang Jie-Ee Wei selepas muncul naib juara Thailand Masters Super 300 pada Februari lalu.
Di Stadium Nimibutr, Bangkok, Tang Jie-Ee Wei tewas straight set kepada wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai straight set, 12-21, 18-21 dalam aksi 49 minit.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon Lai mara ke final selepas menjinakkan pilihan keenam, Robin Tabeling-Selena Piek dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Soon Huat-Shevon Lai menewaskan Robin-Selena, 21-18, 21-16 dalam masa 37 minit melebarkan tiga kemenangan perlawanan sebelum ini, sekali gus final ketiga berturut-turut dalam kejuaraan Super 300 tersebut.
Pada edisi 2023, Soon Huat-Shevon Lai tewas 17-21, 21-19, 17-21 kepada wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam perlawanan akhir.
Edisi 2022, wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau menafikan impian Soon Huat-Shevon Lai dengan meraih kemenangan 12-21, 21-18, 21-17.
Kali terakhir pemain negara berentap sesama sendiri di perlawanan akhir adalah pada Malaysia Masters 2017 menemukan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menentang Soon Huat- Shevon Lai. - Sinar Harian
#Terbuka Switzerland Super 300 #badminton #Chen Tang Jie-Toh Ee Wei #Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie
;