Tang Jie-Ee Wei sambar gelaran sulung
Sinar Harian
Februari 5, 2023 05:15 MYT
Februari 5, 2023 05:15 MYT
GANDINGAN Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan mereka mampu memegang status selaku beregu badminton campuran nombor satu negara apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa Iran 2023.
Dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Afrasiabi, Tehran pada Ahad, Tang Jie-Ee Wei menewaskan rakan senegara mereka, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing 21-19, 21-15.
Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menebus kekecewaan mereka selepas tumbang di tangan Pang Ron-Mei Xing pada aksi final Cabaran Antarabangsa Malaysia, Disember tahun lalu.
Malah, lebih membanggakan apabila gandingan yang baru dibentuk kira-kira tiga bulan lalu itu berjaya merangkul kejuaraan pertama mereka pada musim ini.
Kejayaan itu juga pastinya membakar semangat Tang Jie-Ee Wei bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.
Dalam pada itu, Mei Xing dan pasangannya, Go Pei Kee terlepas peluang muncul juara acara beregu wanita apabila tewas 22-20, 16-21, 17-21 kepada wakil Indonesia, Jesita Miantoro-Febi Setianingrum.
Biarpun gagal merangkul kejuaraan, Mei Xing-Pei Kee masih boleh berbangga dengan pencapaian di Tehran memandangkan mereka turut baru digandingkan dalam acara tersebut. -Sinar Harian