Tang Jie-Ee Wei lakar kejutan ke suku akhir Terbuka Malaysia
Bernama
Januari 12, 2023 21:28 MYT
Januari 12, 2023 21:28 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan baharu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sensasi di Terbuka Malaysia 2023 apabila mara ke suku akhir selepas mengejutkan pasangan nombor 12 dunia dari Indonesia, Rehan NaufalKusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, pada pusingaan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Nasihat jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto untuk menjaga emosi ketika berada dalam gelanggang dimanfaatkan sebaiknya oleh gandingan yang baharu dua bulan beraksi bersama untuk mencapai kemenangan straight set 21-19, 21-16 dalam masa 46 minit.
Ee Wei, 22, sangat menghargai pengorbanan jurulatih, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik 2008 itu, yang mula membimbing mereka dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Dia (Nova) ajar kita (Tang Jie-Ee Wei) mengawal emosi sebab kami berdua hiperaktif ketika berada dalam gelanggang.
"Sekarang kami harus mempersiapkan diri untuk aksi suku akhir. Kami akui setiap kali beraksi kami tidak simpan permainan sebenar, tambahan pula beraksi di laman sendiri, memang sentiasa berikan segala-galanya," katanya yang hanya menghuni ranking ke-147 dunia.
Tang Jie pula memaklumkan bahawa kunci kemenangan mereka adalah tidak terlalu gopoh untuk mencari mata, selain sentiasa berhati-hati ketika melakukan servis kepada pihak lawan.
"Jurulatih (Nova) memberitahu kami bahawa pasangan lawan adalah bekas anak didik dia sebelum ini. Mereka memang konsisten dari segi pertahanan dan mengawal bulu tangkis. Bagaimanapun, dari segi kekuatan mereka sedikit kurang, jadi beliau berpesan kepada kami jangan terlalu gopoh untuk mencari mata," katanya.
Tang Jie- Ee Wei seterusnya akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, pada aksi suku akhir, esok.
-- BERNAMA