Tan Boon Heong teruja diterima dalam bidang lakonan
Astro Arena
Februari 19, 2022 07:30 MYT
Februari 19, 2022 07:30 MYT
BEKAS pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong, teruja dengan sambutan peminatnya selepas mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
Selepas menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Maharaja Lawak Mega, dia kemudian muncul dalam sebuah iklan bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Baru-baru ini, dia sekali lagi membuat penampilan di layar kaca menerusi sitkom terkenal, Sepahtu Reunion Live.
Berkongsi mengenai pengalaman terbarunya dalam bidang lakonan, Boon Heong berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Sebenarnya, selepas saya sudah berjanji untuk pergi, saya meminta mereka skrip lebih awal tetapi mereka memang tak bagi.
"Sampai di sana (lokasi) baru mereka bagi (skrip). Saya bukannya pelakon profesional, jadi sampai di sana memang agak 'kancheong' (gugup) sedikit.
"Skrip yang diberikan memang panjang tetapi kami mencuba untuk memendekkannya, jadi saya berasa agak gembira juga dengan persembahan saya," katanya.
Ditanya mengenai pujian peminat terhadap lakonannya, Boon Heong menambah: "Benarkah? Saya juga tidak tahu. Tetapi kalau setakat (watak) marah orang tu kira OK lah kan? lebih mudah," katanya lagi.