Tampar pemain: Jurulatih mohon maaf, sedia berdepan tindakan
Shuhada Abdul Kadir
Januari 4, 2023 20:11 MYT
Januari 4, 2023 20:11 MYT
MELAKA TENGAH: Jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita) yang bertindak menampar pemainnya baru-baru ini membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini.
Saiful Hadee Amar, 44, yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Alor Gajah mengakui kesal dengan tindakan yang diambil dan terbuka untuk menerima apa jua bentuk tindakan daripada mana-mana pihak berhubung perbuatannya.
Ujarnya, beliau tidak berniat untuk menggunakan sebarang kekerasan dalam melatih semua pemain memandangkan dia sudah melatih mereka sejak di bangku sekolah rendah dan menganggap kesemua mereka sebagai keluarga dan sumber kekuatannya untuk terus membawa sukan itu ke peringkat tertinggi.
“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku yang mana latihan yang lakukan ada pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif, dan fizikal dalam membentuk pemain saya demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan.
“Pemain-pemain saya adalah keluarga dan sumber kekuatan dan saya tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih. Saya juga tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan kerana apa yang saya lakukan adalah untuk memotivasikan mereka dalam setiap perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan khas bersama keluarga dua remaja yang terlibat yang turut disertai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; dan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow.
Mengulas lanjut Saiful Hadee berkata, beliau dengan lapang dada memohon maaf bukan sahaja kepada pemain serta ibu bapa, sebaliknya seluruh komuniti bola tampar yang ada di negara ini.
“Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa, pada kelab saya sendiri, MAVA, persatuan bola tampar Melaka dan komuniti bola tampar yang ada di Malaysia.
“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya dan saya harap perkara ini jadi pengajaran pada diri saya sendiri,” tambahnya.