Talia gembira di Malaysia

Bernama
Februari 22, 2023 11:20 MYT
Talia berkata, beliau harap dapat menembusi kelompok 40 terbaik serta menetapkan sasaran jangka panjang untuk beraksi di Sukan Olimpik pada masa hadapan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita Kanada Talia Ng pernah berlatih di tiga negara, namun tiada yang boleh mengatasi pengalamannya di Malaysia.
Talia yang menjalani latihan di Thailand, China dan Hong Kong sebelum ini dan memulakan program latihan selama sebulan di sini sejak dua minggu lepas, mengakui pengalaman latihan pertamanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, benar-benar luar biasa.
"Suasana latihan sangat hebat dan saya amat sukakannya kerana semua orang begitu ceria. Kemudahan dan jurulatih juga sangat bagus di sini (ABM).
"Selain daripada latihan gelanggang, saya juga suka berlatih di gimnasium kerana jurulatih mempunyai banyak ilmu pengetahuan dalam sains sukan termasuk bilangan latihan yang perlu anda lakukan," katanya ketika ditemui di ABM.
Tidak seperti Kanada, Talia yang menggunakan wangnya sendiri untuk berlatih di sini, tertarik dengan kemesraan dan perpaduan dalam kalangan pemain badminton Malaysia di ABM.
"Di Kanada, kami tidak mempunyai pusat latihan kebangsaan kerana semua berlatih sendiri di kelab badminton mereka dan kami tidak begitu rapat dengan pasukan. Jadi, saya sangat suka cara pemain Malaysia berlatih bersama, bergembira setiap masa dan membantu antara satu sama lain," katanya.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata memandangkan badminton sukan yang tidak popular di tanah airnya, tidak ramai rakyat Kanada yang mengenali pemain utama mereka, Michelle Li yang berada pada kedudukan ke-15 dunia, walaupun rakan senegaranya itu terkenal dalam kalangan peminat badminton di seluruh dunia.
Ditanya tujuan utamanya berlatih di Malaysia, pemain nombor 53 dunia itu berkata beliau mahukan program latihan intensif bagi membantunya membuat persiapan untuk Cabaran Antarabangsa Thailand 2023 dari 7 hingga 12 Mac, diikuti beberapa kejohanan Eropah termasuk Terbuka Poland 2023, Madrid Spain Masters 2023 dan Orleans Masters 2023 di Perancis.
Pada masa ini, pemain kelahiran Toronto berharap dapat menembusi kelompok 40 terbaik serta menetapkan sasaran jangka panjang untuk beraksi di Sukan Olimpik pada masa hadapan.
Lulusan program ijazah sains hayat dari McMaster University berpangkalan di Ontario itu juga berkata beliau akan bersiar-siar ke Pulau Pinang selepas melancong ke Melaka hujung minggu lepas.
"Lebih penting lagi, Malaysia mempunyai banyak makanan yang enak," katanya.
-- BERNAMA
#Talia Ng #badminton #perseorangan wanita Kanada #program latihan
;