Takraw tamatkan penantian 10 tahun emas
Astro Arena
Jun 13, 2015 00:05 MYT
Jun 13, 2015 00:05 MYT
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas sepak takraw adalah pada Sukan SEA 2005 di Filipina.
Ketika ditemui pemberita, kapten pasukan Farhan menyifatkan kejayaan meraih pingat emas itu adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan mereka dan bukannya kemenangan 'percuma' berikutan Thailand tidak menghantar wakil dalam acara itu.
"Jika Thailand menghantar pasukan dalam acara regu pun, kami akan berjuang habis-habisan merebut pingat emas hari ini dan tidak akan mengaku kalah.
"Pasukan Laos juga mempunyai kelebihan tersendiri dan memberi saingan hari ini dan bukannya memberi kemenangan mudah kepada kita," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail yang hadir menyaksikan perlawanan itu, bangga dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan pemain negara.
"Kenapa kita perlu mempersoal pingat emas yang dimenangi pemain lelaki negara hanya disebabkan Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara itu," katanya.
Ahmad berkata peminat sepak takraw tanah air sepatutnya berbangga dan tidak memperlekehkan kejayaan bersejarah itu kerana Malaysia akhirnya berjaya memenangi pingat emas.
Beliau berkata Thailand mungkin mempunyai sebab tertentu tidak menghantar wakil dalam acara regu kali ini.