'Tak patut bandingkan Ferrari dengan Fiat' - Zlatan

Israr Khalid
Julai 20, 2019 21:40 MYT
Zlatan Ibrahimovic menyifatkan media melakukan kesilapan besar membandingkan dirinya dengan penjaring terbanyak MLS musim ini, Carlos Vela. - Gambar fail/REUTERS
PADA awal minggu ini, pemain sensasi Los Angeles (LA) Galaxy Zlatan Ibrahimovic ditanya sama ada dia masih pemain terbaik Major League Soccer (MLS) apabila senarai penjaring terbanyak liga itu musim ini diterajui penyerang LA FC, Carlos Vela.
Zlatan menjawab, “Setakat ini. Kerana dia (Vela) berada di kemuncak karier. Berapa umurnya? 29? Dan dia bermain di MLS pada kemuncak kariernya. Ketika saya berusia 29 tahun, saya bermain di Eropah. Sangat berbeza.”
Boom.
Maka pada malam Jumaat kedua-dua pemain itu bersemuka dalam pertemuan yang dipanggil ‘El Trafico’, dan mereka menjadi watak utama untuk pasukan masing-masing.
Vela meledak dua gol untuk menambah koleksi jaringannya menjadi 21, namun Zlatan meledak hatrik sempurna - tiga gol masing-masing dengan kaki kanan, kaki kiri dan menggunakan kepala.
“Apabila anda bermain menentang seteru seumpamanya, dalam stadium yang penuh, semangat saya dibakar. Adrenalin menderu laju. Ini dikira perlawanan terbesar dalam liga ini dan saya tampil dalam perlawanan-perlawanan besar.
“Saya amat menghormati Vela, dia pemain yang bagus. Tetapi anda membuat satu kesilapan; membandingkan dia dengan saya. Itu kesilapan anda yang paling besar. Anda tidak patut bandingkan Ferrari dengan Fiat.
“Saya percaya dengan diri saya. Orang kata ia angkuh, saya kata ia keyakinan. Orang jahil memanggilnya angkuh, orang cerdik memanggilnya yakin,” tegasnya selepas perlawanan tersebut.
Zlatan mempunyai sejarah dalam pertembungan seteru tetangga ini, di mana dia meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-91 dalam aksi debut MLSnya pada Mac 2018.
Bekas pemain Ajax, Juventus, Barcelona, Inter Milan, AC Milan, PSG dan Manchester United itu kini mencatat 41 gol dalam 44 aksi MLS dan keseluruhan 520 gol kelab sepanjang kariernya.
Zlatan Ibrahimovic, tuan-tuan dan puan-puan.
#Carlos Vela #El Trafico #Ferrari #Fiat #hatrik #LA FC #LA Galaxy #Los Angeles #Los Angeles FC #MLS #Zlatan Ibrahimovic
;