Tak mustahil kem memanah hadirkan pingat buat negara - Ariana
Bernama
Julai 19, 2024 04:08 MYT
Julai 19, 2024 04:08 MYT
SEPANG: Mengakui tampil ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai skuad 'underdog', pemanah recurve negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi tetap optimis kem memanah negara mampu menjelmakan sekurang-kurangnya satu pingat di temasya sukan berprestij itu.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata bagi sukan memanah setiap atlet hanya akan bersaing dengan diri sendiri dalam usaha mengawal emosi dan taktik bidikan untuk memburu podium di pentas terbesar itu kelak.
Katanya, oleh itu adalah tidak mustahil untuk kem memanah negara menaiki podium sekali gus memperoleh pingat untuk disumbang ke kontinjen Malaysia di temasya sukan empat tahun sekali itu.
"Tidak mustahil untuk kami bawa balik sesuatu dari Paris, mungkin pingat dari acara berpasukan insya-Allah ataupun seorang dari kami akan bawa balik pingat bagi individu, tidak mustahil lah bagi saya
"Bagi saya kami akan lawan diri sendirilah mungkin dari segi macam mana kami kawal diri dekat sana nanti mungkin kita boleh memperbaiki dari segi bidikan ke ataupun skor kami di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Paris semalam bagi temasya Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirainya 26 Julai ini.
Ariana berlepas ke Paris bersama dua lagi atlet memanah Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh bersama ketua jurulatih Lee Jae-hyung, seorang pengurus pasukan dan seorang pegawai perubatan.
Dalam pada itu, Ariana turut menyasarkan untuk sekurang-kurangnya memperbaharui catatan peribadi terbaiknya di Paris kelak.
"Latihan dua minggu di Korea Selatan sebelum ini membantu kami, dapat belajar dan tengok bagaimana pemanah luar negara berlatih dan belajar tenangkan diri di sana...akan guna pendekatan sama di Olimpik nanti," katanya.
-- BERNAMA