Tak masuk akal Argentina senarai Messi -- Leonardo
Astro Arena
November 9, 2021 09:51 MYT
November 9, 2021 09:51 MYT
LIONEL Messi dipanggil menyertai skuad Argentina pada ketika dia belum cukup cergas merupakan sesuatu yang "tidak masuk akal", kata Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo.
Pemain berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan sejak memulakan kariernya di PSG menerusi satu perpindahan percuma daripada Barcelona tiga bulan lalu.
Selepas tidak dapat terlibat ketika pasukannya terikat seri dengan RB Leipzig dan menang ke atas Bordeaux gara-gara kecederaan lutut dan paha minggu lalu, Messi hanya dapat melakukan lapan penampilan daripada keseluruhan 18 perlawanan PSG musim ini.
Walaupun sedang bergelut dengan masalah kecergasan, Messi tetap disenaraikan dalam skuad Argentina bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Brazil sepanjang dua minggu ini.
Ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino, minggu lalu berkata bahawa dia gembira untuk Messi mewakili La Albiceleste bagi mendapatkan kembali kecergasannya.
Namun, Leonardo kurang senang dengan tindakan Argentina menamakan penyerang itu dan menggesa campur tangan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Kami tidak bersetuju untuk melepaskan pemain, yang pada kami bukan di tahap kecergasan terbaik dan sedang berada dalam fasa pemulihan, ke pasukan kebangsaan mereka.
"Ia tidak masuk akal dan situasi ini memerlukan campur tanggan FIFA," katanya seperti yang dilaporkan La Parisien.