'Tak logik kami tak mampu bayar gaji Mario Gomez' - TMJ sindir dalam sinis

Madiha Abdullah
Disember 5, 2017 17:00 MYT
Tunku Ismail yang biasa disapa TMJ, memuat naik beberapa status bernada sinis untuk memberi jawapan terhadap tuduhan itu. - FOTO/FB Johor Southern Tigers
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia yang juga pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, nampaknya mempunyai cara tersendiri untuk menjawab tuduhan bekas pengendali kelab itu, Mario Gomez.
Gomez dalam laporan akhbar hari ini memaklumkan akan mengheret pengurusan JDT ke mahkamah atas dakwaan gagal melunaskan baki gaji.
Tidak melatah dengan tuduhan itu, sebaliknya Tunku Ismail yang biasa disapa TMJ, memuat naik beberapa status bernada sinis untuk memberi jawapan terhadap tuduhan itu.
Dalam kemas kini di laman Facebook Johor Southern Tigers dua jam lalu, dua keping gambar dimuat naik, dengan kedua-duanya memaparkan gambar TMJ sedang bersantai, beserta kapsyen yang agak mencuit hati.
Dalam salah satu status, TMJ berkata, dengan reputasi JDT, tuduhan tidak melunaskan tunggakan gaji adalah sangat tidak munasabah.
Menerusi kemaskini terbaharu yang dimuat naik sejam yang lalu pula, kelab itu melalui Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards, memperincikan dakwaan Gomez sebagai 'merapu'.
Kata Edwards, tuduhan tidak membayar gaji adalah tidak benar sama sekali.
"Faktanya ialah sebahagian daripada kontrak Encik Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya, Raul Longhi.
"Sejak 2015 JDT telah membayar komponen gaji ini secara terus kepada Encik Longhi daripada gaji Encik Gomez mengikut permintaan khususnya selaras dengan kewajipan dalam kontrak Encik Gomez," kata Edwards.
Edwards juga menyatakan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan kerana yakin apa yang dilakukan selama ini adalah selaras dengan undang-undang.
"Barisan peguam kami telah bersiap-siaga dengan segala fakta dan asas yang kukuh kerana kita yakin bahawa tindakan diambil sebelum ini adalah bertepatan dan selari dengan 'rule of law'.
"Saya nasihatkan beliau supaya dapatkan nasihat undang-undang yang betul sebelum merapu di media," tambahnya.
#Alistair Edwards #JDT #Johor Darul Takzim #Mario Gomez #Persatuan Bola Sepak Malaysia #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #undang-undang
;